Mama pesan jaga adik-adik, jangan berpisah

 

KUALA NERANG – Seorang gadis berusia 20 tahun di Kampung Pasir Puteh, Tualak di sini kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas ibu mereka meninggal dunia pada Khamis akibat kemalangan jalan raya pada 30 April lalu.

Nurfarra Asyikin Norazmi berkata, dia bersama empat adiknya berharap ibu mereka, Norhashimah Abdul Majid, 43, segera sedar daripada koma sejak dua bulan lalu namun akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurutnya, dia perlu kuat sebagai motivasi kepada adik-adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4.

“Kami kini sudah hilang tempat bergantung kerana sebelum ini mama bekerja di kedai makan untuk mencari rezeki selepas lebih setahun kami berhijrah dari Pulau Pinang dan menumpang di rumah bapa saudara di sini.

“Mama ada berpesan, jika berlaku apa-apa kepadanya, mama minta menjaga adik-adik sebaik mungkin dan jangan berpisah. Saya akan pegang sebaik mungkin pesanan ini,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Jasnizam Husni di Kampung Pasir Puteh, Tualak, pada Jumaat.

Jasnizam (kanan) mewakili Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kepada Nurfarra Asyikin sekeluarga di Kampung Pasir Puteh, Tualak, dekat sini pada Jumaat.

Nurfarra Asyikin yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Padang Terap berkata, dia juga mahu menunaikan hasrat arwah ibunya untuk membina rumah sendiri di atas tanah di belakang rumah bapa saudara.

“Hasrat mama ini tidak kesampaian dan kami akan cuba penuhinya suatu hari nanti. Buat masa ini kami mahu mencari rumah sewa lain yang lebih selesa,” ujarnya yang memperoleh elaun sekitar RM700 sebulan bertugas bersama APM.

Sementara itu, nasib yang menimpa Nurfarra Asyikin sekeluarga turut mendapat perhatian Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab yang hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

Menurutnya, Nurfarra Asyikin baru sahaja bertugas bersama agensi tersebut pada Januari tahun ini.

“Untuk jangka masa panjang, kita akan bantu Nurfarra dan Mohd Hafiq Ridzuan mendapatkan kemahiran dengan menyertai APM. Pada hujung minggu dia boleh bertugas di agensi ini dan mendapat elaun sukarelawan.

“Di peringkat APM pula, kita akan kumpul dana membeli sebuah motosikal sebagai kemudahan mereka sekeluarga bergerak nanti atau melakukan kerja-kerja lain.

“Kita juga akan bantu Nurfarra melalui penambahan elaun sehingga RM1,000 sebulan dengan tugas-tugas yang akan diberikan,” katanya.

Mama pesan jaga adik-adik, jangan berpisah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

 


Pemilihan UMNO akan ditangguh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker