BN mesti jadi teras

 

Dalam peperangan, kebenaran adalah mangsa pertama yang akan terkorban,” demikian kata pujangga yang pernah diungkapkan Senator parti Republikan di Amerika, Hiram Johnson (1866-1945). Melihat kepada situasi politik Malaysia hari ini, nampaknya kata-kata itu terbukti tepat.

Apa tidaknya, kini bermacam bentuk spekulasi muncul, kononnya ada penjajaran baharu antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dengan seteru, atas alasan parti komponen tak mampu tarik sokongan bukan Melayu. Hasilnya, bertebaranlah cakap-cakap seperti perjanjian pintu belakang dan sebagainya.

Soalnya, dalam ‘perang politik’ sekarang, mana satu yang betul? Ada penjajaran atau tidak? Dan kalau tak dibentuk penjajaran, macam mana BN hendak tarik semula sokongan bukan Melayu pada pilihan raya akan datang?

Bagi mendepani persoalan ini, Mingguan Malaysia menemu bual Setiausaha Agung BN yang baru, DATUK SERI DR. ZAMBRY ABDUL KADIR. Ikuti wawancara yang bertempat di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini, yang disertai wartawan ROSHIHAN ANNUAR YUB, FAHMI FAIZ serta jurugambar FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana perasaan dilantik sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu?
DR. ZAMBRY: Saya telah pun menge­luarkan kenyataan saya lanjutan daripada pelantikan sebagai Setiausaha Agung yang baru. Saya melihat ini seba­gai satu tanggungjawab dan saya tidak anggap ini sebagai satu keistimewaan yang perlu diraikan kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang diberikan harus diambil sebagai satu amanah yang dipikul dengan sebaik-baiknya.

Harapan Datuk Seri terhadap BN di era politik serba baru pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?
Tentunya dalam suasana politik yang ada pada hari ini, selepas peristiwa PRU-14 yang lalu, kita memerlukan beberapa anjakan pemikiran dan melihat ke dalam kedudukan BN yang ada pada hari ini untuk menjadikan ia lebih relevan dan juga lebih dinamik.

PERIKATAN 3.0
Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebut tentang satu bentuk jajaran baru iaitu Perikatan 3.0. Apa maksudnya?
Saya fikir apa yang digambarkan oleh Pengerusi BN itu ialah keba­rangkalian bentuk kerjasama yang lebih luas sama ada sebelum atau selepas pilihan raya nanti. Sekarang kita sudah ada persefahaman melalui MN dan turut menjadi sebahagian daripada kerajaan yang ada. Bagi mengekalkan kestabilan politik dan kerjasama politik yang lebih melebar, BN dan rakan-rakannya mungkin dapat berbincang bersama secara musyawarah. Apapun saya percaya tindakan dan keputusan tidak akan dibuat secara unilateral atau dibuat oleh seorang individu.

Jadi apa bentuk penjajaran itu nanti?
BN mesti menjadi teras. Apa guna mempunyai penjajaran sekiranya BN hanya berada di pinggiran. Sebagai contoh kini kita mempunyai penjajaran bersama kerajaan yang ada, kita menerimanya atas keperluan dan kepentingan menyelamatkan kedudukan politik negara yang kucar kacir ketika itu. Mungkinkah ada penjajaran yang lebih melebar bagi menghadapi PRU-15? Jawapannya, BN sudah memulakan persefahaman melalui MN.

JANGAN BERPRASANGKA NEGATIF
Pandangan Datuk Seri, BN memerlukan jajaran yang baru?
Soal jajaran yang kita mahu gunakan, yang paling mustahak jangan kita membawa konotasi jajaran dalam konteks yang negatif. Masalah yang ada dalam kelompok kita, kononnya mestilah jajaran yang dimaksudkan adalah jajaran dengan musuh-musuh politik yang tidak disukai. Sedangkan yang dimaksudkan dengan jajaran ialah tentang kedinamikan politik.

Kedinamikan yang macam mana?
Seperti yang saya sebut tentang usaha penubuhan BN di awal 70-an, ia sebenarnya lahir daripada kedinamikan politik ketika itu selepas pilihan raya umum 1969. Akhirnya semua atas nama kesepakatan telah memilih satu jajaran politik baharu. Begitu juga sekarang, andaikan kita akan meneruskan di bawah jajaran MN. Di bawah MN kita mempunyai sejumlah kerusi. Jika pada ketika itu nanti untuk membentuk sebuah kerajaan memerlukan satu penjajaran baharu, saya kira, di situlah letaknya kedinamikan dan kematangan politik.

Boleh ulas dengan lebih terperinci?
Jangan kita membicarakan jajaran baharu dalam konteks politik semata-mata tetapi sebaliknya jajaran baharu mungkin muncul apabila kepentingan negara, perlunya sebuah kerajaan stabil dibentuk pada ketika itu. Seperti pengalaman terbaharu Mac 2020, terbentuknya jajaran baharu yang menyaksikan terbentuknya kerajaan sekarang, walaupun agak longgar tetapi itulah kedinamikan politik yang melahirkan jajaran baharu. Jadi saya mahu tekankan aspek jajaran itu terlalu sangat dijadikan satu yang sangat negatif.

Negatif yang macam mana?
Kononnya UMNO mahu keluar daripada persefahaman untuk bersama dengan musuh-musuh yang dianggap sebagai musuh orang Melayu dan musuh Islam. Yang menjadi masalahnya adalah istilah jajaran itu sesuatu yang dicipta untuk meletakkan bahawa ia memberi satu konotasi yang sangat tidak baik. Sebenarnya ia merupakan satu proses dalam politik, apa yang akan berlaku kemudiannya. Contohnya, sudah begitu jelas usul yang diletakkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang kita akan meneruskan kerjasama dengan MN. Ada saudara dengar ada usul untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain? Tapi politik ini akan terus dimanipulasikan, macam-macam dimainkan, jadi inilah masalahnya.

HALATUJU MUAFAKAT NASIONAL
Pada pilihan raya akan datang, UMNO akan bergerak solo?
Saya yakin UMNO akan tetap bersama BN. Seperti mana PAU, kita akan bekerjasama dengan MN, itu adalah keputusan sehingga ke hari ini.

Macam mana hubungan UMNO dan Pas, memandangkan ada sengketa antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) sekarang?
Hubungan kita dengan Pas tetap berasaskan kepada MN, sama ada Pas buat kenyataan itu atau ini, itu terpulang kepada Pas. Apa pun kita sudah letakkan asas kerjasama kita dalam MN. Kita juga telah mengadakan siri-siri pertemuan. Jadi di sebalik pelbagai kenyataan, UMNO tidak buat sebarang kenyataan yang boleh timbulkan suasana negatif. Yang mustahak, setiap kenyataan perlu ada kenyataan rasmi.

Pas beri isyarat tangguhkan sementara soal rundingan kerusi berikutan kemelut UMNO-Bersatu. Komen?
Saya mahu sebutkan di sini kita memang teruskan mesyuarat kita (dengan Pas). Kita masih teruskan mesyuarat kita, cuma kerana Covid (jadi ia tergendala). Jadi saya tidak faham, tangguhkan rundingan sementara? Sedangkan mesyuarat MN kita terus juga. Perlu ingat, nak membina perpaduan ummah UMNO-Pas ini bukan mudah. Sebab itu jika ada sedikit kocakan, carilah jalan damai, bukan jalan berkelahi.

Sudah muktamad soal pemberian kerusi UMNO-Pas?
Kita sudah ada beberapa siri mesyuarat, saya ingat sehingga ke peringkat akhir, sudah 70 peratus rundingan selesai.

UMNO-Pas ada perbincangan kerusi, tapi pada masa sama mereka turut runding dengan Bersatu. Tak risaukah wujud pertembungan?
Mereka (Pas) akan datang kepada kita, mereka akan maklumkan kerusi-kerusi mana, kita hanya berdasarkan kepada apa yang kita bincang dengan mereka, antara BN kita ambil dari situ.

CETERIS PARIBUS
Apa perkiraan yang BN perlu ambil bagi menghadapi kemungkinan bertembung dengan Bersatu dan PN?
BN perlu sedar bahawa cabaran yang ada di hadapan bukan semata-mata pertentangan antara dua parti sahaja, dan menafikan faktor-faktor yang lain yang ada di sekeliling. Jadi kita perlu buat perkiraan itu, ia kena ada dan kita tak boleh mengambil andaian yang berbentuk ceteris paribus.

Apa Datuk Seri cuba sampaikan?
Istilah ini bermaksud “all other things being unchanged or constant”, dan sering digunakan dalam ekonomi untuk memahami bagaimana sesuatu perkara seperti harga produk yang lebih tinggi akan mempengaruhi permintaan. Ini mengakibatkan kita cenderung mengabaikan semua faktor lain, seolah-olah hanya harga tinggi sahaja faktor yang boleh mempengaruhi permintaan. Sedangkan dalam dunia politik, tidak ada konsep ceteris paribus yang begitu. Saudara boleh membuat apa saja andaian, tapi kita kena faham bahawa politik adalah satu yang dinamik, yang sentiasa berubah, yang ada kaitan dengan ini dan itu, jadi kena fikirkan semua faktor.

POLITIK IDENTITI
Komen mengenai PN yang didakwa ditolak bukan Melayu kerana dilihat sebagai parti Melayu?
Sarjana seperti Francis Fukuyama dan Ami Chua banyak membicarakan kebangkitan politik identiti yang dihubungkan dengan kaum dan bangsa serta nasionalisme di dunia hari ini. Ia dianggap tidak baik kepada politik demokrasi. Tetapi di Malaysia selepas peristiwa PRU-14 banyak menyedarkan tentang perpecahan bangsa teras sehingga tewas dalam pilihan raya. BN pula selama ini berusaha membawa agar pendekatan seimbang dan sederhana melalui kerjasama politik antara kaum. Harus diingat mana-mana parti yang mahu membentuk kerajaan tidak boleh menafikan parti Melayu.

BUKAN KAWAH TAPI LEMBAH
Datuk Seri sebut tentang politik identiti, tapi tidakkah BN selaku parti berbilang kaum kontradiksi dengan UMNO iaitu parti politik beridentitikan Melayu?
Kalau kita katakan bahawa antara BN dan UMNO itu kontradiksi, maka kita akan kata bahawa 60 tahun yang lalu kita bina juga ialah kontradiksi. Tapi itulah, asas itu dibina, parti-parti itu dibina, tapi ia kembali kepada konteks yang lebih besar kerana bentuk kerjasama dalam sebuah negara yang lebih besar, walaupun UMNO meletakkan asas tetapi BN itulah yang menjadi pengimbangnya.

Kalau Datuk Seri boleh beri analogi yang mudah difahami?
Apa yang saya nak sebutkan, kalau saya boleh umpamakan bahawa BN ini bukan sahaja seperti kawah tapi seperti sebuah lembah. Di situlah berlakunya proses kesuburan, yang ditanam di lembah itu semuanya naik bersama, dan naik daripada satu lembah saja iaitu lembah yang kita sebut sebagai BN itu. Dan masing-masing membawa benih-benihnya, dan ia naik atas asas yang sama.

Jadi apa beza BN dan Pakatan Harapan (PH) sebab dua-dua ingin tampil sebagai juara pelbagai kaum?
Yang saya nak sebutkan bahawa, semua parti yang berbentuk kerjasama politik atau yang bersifat coalition, sebenarnya asasnya adalah daripada BN. Ini kerana mereka melihat bahawa model BN itu adalah model untuk Malaysia. Sebab itu kita lihat kerjasama PH sekalipun, mereka tahu bahawa mereka tak boleh bekerja secara sendiri-sendiri, mereka mesti bekerjasama dengan parti-parti lain. Sebab itu PH dah cuba sehabis mungkin dan PH contohnya, mereka cuba nak letakkan asas kononnya semua harus sama rata, seolah-olah kesamarataan itu adalah asas keadilan, namun akhirnya mereka tak menemui kesamarataan itu. Macam mana kamu nak samaratakan parti yang ada lima kerusi dengan parti yang ada 50 kerusi? Eksperimen yang mereka buat, akhirnya jadi eksperimen yang gagal.

FRIENDS OF BN
MCA dan MIC gagal tarik sokongan kaum Cina dan India, jadi siapa lagi yang boleh diharapkan?
Sebab itu saudara lupa satu aspek lagi dalam konteks BN, iaitu kita ada Friends of Barisan Nasional (Friends of BN). Sebab dalam political game ini, jangan hanya tuju kepada satu tetapi kita juga perlu melihat sisi yang lain. Contohnya dalam konteks BN hari ini, kita mungkin melihat bahawa seolah-olah kerja untuk melaksanakan agenda BN itu hanya terletak kepada empat (parti komponen sahaja), tapi dalam satu lingkungan yang lain pula, kita ada lingkungan Friends of BN, yang mana kita ada pelbagai parti yang masih ada bersama dengan kita, yang memberikan dukungan. Jadi dalam erti kata lain, BN ada empat asas. Tapi di luar lingkungan itu pula ada Friends of BN. Kemudian di luar lingkungan itu pula ada masyarakat sivil dan NGO yang bersama-sama.

POLITIK PERAK
Beralih kepada politik Perak, macam mana hubungan antara BN, Bersatu dan Pas di sana?
Sepanjang pengetahuan saya, dan walaupun saya tak layak menjawab namun sebagai ahli DUN, bolehlah saya sebutkan bahawa kerajaan yang ada ini juga mendapat sokongan daripada semua. Di sana ada Bersatu, ada Pas, ada Bebas (dan ada UMNO-BN), jadi kalau ada yang berkata bahawa mereka tak beri sokongan (kepada kerajaan Perak), maka itu tak betul. Kalau berlaku macam itu bermakna jumlah bilangan ADUN yang ada hari ini, tak cukuplah untuk membentuk kerajaan. Jadi kalau ada pandangan yang begitu, tak betullah.

Dalam pilihan raya akan datang, apa senario yang dijangka berlaku di Perak, kalau ambil kira penjajaran yang berlaku di sana sebelum ini?
Pertama, perkukuhkan BN dan mengikut arahan parti iaitu kerjasama yang telah kita jalin selama ini melalui Muafakat Nasional, dan saya percaya itu yang sedang dirangka oleh Datuk Saarani Mohamad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak. Saya tak fikir beliau akan ambil pendekatan lain daripada apa yang diputuskan di peringkat pusat. Malah sebarang keputusan yang nak dibuat dalam bentuk apa sekalipun akan dirujuk kepada pimpinan pusat.

Sejauh mana formula penjajaran politik Perak yang dahulunya babitkan UMNO-BN bersama PKR dan Amanah, akan diaplikasi dalam konteks nasional?
Kita melihat apa yang berlaku di Perak adalah suasana di waktu itu, dan kita tak boleh gunakan formula one size fit all. Sebab itu saya sebutkan bahawa politik ini satu yang dinamik, kita tak boleh terlalu mudah buat rumusan “hari ini okay, esok tak okay, lepas itu okay semula”. Tapi yang penting ialah asas kepada pembentukan kerjasama itu, ke mana kita nak bawa, apa falsafah perjuangan kita.

TANAH RIZAB MELAYU
Komen terhadap pendedahan Mingguan Malaysia sebelum ini mengenai isu penyelewengan tanah rizab Melayu di Manjung, Perak?
Saya ingat, yang itu kita minta Menteri Besar, Datuk Saarani jawablah lebih baik, sebab benda sensitif macam itu kalau saya jawab bagi pihak beliau, agak kurang sesuai.

BN mesti jadi teras


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

PKR kata pandangan Hadi mengenai musuh Islam di Malaysia janggal

Najib Bidas Muhyiddin Laksana Titah Tuanku Bukan Bentuk Jawatankuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker