Cari capaian internet, pelajar akhirnya di ICU


Cari capaian internet, pelajar akhirnya di ICU

Pelajar cari capaian internet untuk PdPR parah kemalangan, kini di ICU Hospital Taiping

LARUT: Hanya kerana ingin mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan mempunyai capaian internet yang baik, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein parah selepas terlibat kemalangan jalan raya, Jumaat lepas.

Siti A’isyah Mohd Idris, 17, sedang menunggang motosikalnya di Jalan Rantau Panjang – Selama untuk mengikuti PdPR secara dalam talian di rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, Selama, sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis BMW di jalan itu kira-kira 9.45 pagi.

Susulan kejadian, pelajar itu mengalami kecederaan parah termasuk patah pada bahagian paha kiri, cedera pada tulang rahang mulut sehingga terpaksa menerima jahitan dan kini dirawat di ICU Hospital Taiping dan dalam keadaan stabil.

Kisah malang itu diceritakan kakaknya, Siti Nurzulfa Mohd Idris, 22, ketika ditemui Bernama di rumah mereka hari ini.

“Oleh kerana capaian internet yang lemah di rumah di Kampung Baru Batu 3 menyebabkan adik saya terpaksa berulang-alik setiap hari ke rumah bapa saudara yang terletak hampir 7km di Pekan Selama,” katanya.

Sebelum ini, Siti Nurzulfa membuat hantaran sehingga tular dalam media sosial mengenai kisah Siti Aisyah sekali gus mendapat perhatian netizen yang simpati dengan nasib menimpa pelajar harapan aliran sains di sekolah itu.

Siti Nurzulfa yang merupakan pelajar tahun akhir pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, kebanyakan rumah di sini sering menghadapi capaian internet yang lemah sejak bertahun lamanya.

Katanya, keadaan ini menyukarkan murid sekolah kebangsaan dan menengah di sini untuk mengikut PdPR malah beliau juga telah beberapa kali menghantar aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia namun masih tidak mendapat tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin, ketika ditemui berkata sebanyak 10 pencawang akan dinaik taraf menerusi Program Jendela bagi tempoh 2021 hingga 2022 di Selama bagi mengatasi masalah capaian liputan internet dan telekomunikasi yang lemah itu. Bernama

Cari capaian internet, pelajar akhirnya di ICU


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bekas menteri India didakwa rogol pelakon Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker