Empat beradik albino disangka anak mat salleh

PASIR MAS – Berkulit putih, rambut perang dan bermata biru membuatkan empat beradik dari Kampung Jejulok, di sini, sering dianggap sebagai anak orang Inggeris atau ‘mat salleh’ disebabkan keadaan fizikal semula jadi mereka.

Begitupun, hakikatnya empat beradik itu Muhammad Adam Haris Zawawi (7), Muhammad Azim Hafiz (6), Muhammad Aiman Haziq dan kembarnya, Muhammad Amirul Haziq (4) adalah penghidap penyakit Albino.

Ibu mereka, Suzita Zakaria,37, yang merupakan seorang suri rumah berkata, kesemua empat anaknya itu disahkan menghidap albino sejak mereka dilahirkan dengan memiliki rupa paras dan fizikal persis ‘mat salleh’.

“Sebelum melahirkan empat cahaya mata istimewa itu, saya sudah mempunyai tiga orang anak.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak mempunyai masalah albino,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, keluarga berkenaan menerima kunjungan dari Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold, Murtadhatumizi Mustapha yang menyampaikan sumbangan telefon pintar untuk kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada Muhammad Adam Haris yang merupakan murid Tahun Satu.

Murtadhatumizi (kiri) daripada MZ Gold menyampaikan sumbangan telefon pintar untuk kegunaan PdPR kepada Muhammad Adam Haris (empat dari kanan) yang merupakan murid darjah satu.

Menceritakan lebih lanjut, Suzita secara jujurnya berkata, dia dan suami, Zawawi Mustafa, 38, mengakui terkejut apabila mendapati anak keempat yang dilahirkan iaitu Muhammad Adam Haris menghidap albino selepas dimaklumkan oleh doktor.

Katanya, lebih mengejutkan lagi apabila kesemua zuriat yang dilahirkan selepas itu juga menghidap albino namun dia menerima ketentuan itu sebagai rezeki dari Yang Maha Esa.

Suzita berkata, dia bersyukur apabila empat cahaya matanya itu sihat dan bebas daripada sebarang penyakit bahaya termasuklah ‘kalis’ panas.

Bagaimanapun dia berkata, empat beradik itu perlu memakai cermin mata setiap kali berada di luar rumah bagi melindungi mata daripada cahaya matahari.

Berkulit putih, rambut perang dan bermata biru membuatkan empat beradik dari Kampung Jejulok, Pasir Mas sering dianggap sebagai anak orang Inggeris atau ‘mat salleh’ disebabkan oleh faktor fizikal semula jadi itu.

“Pernah satu ketika penduduk dari luar kampung ini nyaris terbabas ke dalam parit berhampiran selepas ‘teruja’ melihat empat beradik itu bermain di hadapan halaman rumah.

“Peringkat awal, penduduk setempat dan orang ramai sukar untuk menerima kehadiran anak-anak saya kerana kelihatan pelik bagi pandangan mereka.

“Namun semuanya berubah dari hari ke hari apabila anak-anak mula mendapat perhatian dan sehinggakan mereka sering menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Menurutnya, lebih mengujakan lagi apabila keempat-empat anaknya itu turut tular di aplikasi Tik Tok selepas gelagat mereka dikongsi oleh sepupu, Muhd Faisal Mohd Yusof, 18, sehingga mendapat lebih 1 juta tontonan.

Suzita berkata, dia bersyukur dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini ramai yang cuba menyisihkan anak-anaknya.

Katanya, salah seorang anaknya, Muhammad Adam Haris pernah mengadu dia tidak mempunyai kawan di sekolah disebabkan oleh bentuk fizikalnya yang berbeza sehingga ada yang menggelarnya budak cacat.

Justeru, dia berharap dengan adanya pendedahan ini masyarakat dapat menerima kehadiran kanak-kanak albino seperti manusia normal yang lain.

Empat beradik albino disangka anak mat salleh


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

Agong ada kuasa panggil ahli Parlimen bersidang bila-bila masa

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker