Muhyiddin Perlu Rombak Kabinet

Muhyiddin Perlu Rombak Kabinet

Muhyiddin Perlu Rombak Kabinet

Maka berakhirlah sudah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang begitu dinanti-nantikan oleh semua golongan rakyat, semalam.

Tamatnya perbincangan khas ini, Yang di-Pertuan Agong pun menitahkan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Turut dititahkan tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19 termasuk berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

Ini diikuti oleh titah Raja-Raja Melayu yang menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang atas dasar pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman.

Titah Raja-Raja Melayu lagi, kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid-19 wajarlah diperkenan dan diterima pakai di negara ini.

Ekoran titah ini, maka timbullah pertanyaan dalam kalangan sesetengah pihak mengenai apa yang sudah terjadi kepada konsep Raja Berperlembagaan di negara ini, khususnya peruntukan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri…”

Ada yang lebih terkehadapan lagi dengan mempersoalkan keabsahan perbincangan khas ini di mana ia dikatakan tidak mempunyai legal standing kerana dikatakan tidak selari dengan peruntukan Perkara 38 (3) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka…”

Agong berhak tetap tarikh Parlimen bersidang tanpa nasihat PM

Pada satu sisi lain, ada pula pihak-pihak tertentu yang menyebut bahawa dalam tempoh darurat berkuasa, pemegang kuasa sebenar pemerintahan adalah Yang di-Pertuan Agong di mana kuasa untuk memanggil Parlimen umpamanya dikatakan terletak di tangan Seri Paduka selaras peruntukan Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang berbunyi: “bagi tempoh darurat berkuat kuasa, Parlimen hendaklah dipanggil dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Walaupun begitu, perlulah disedari Yang di-Pertuan Agong sendiri menyedari hakikatnya tidak begitu di mana Seri Paduka telah pada 24 Februari lalu mengakui elemen bertindak mengikut nasihat ini dengan menitahkan “Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.”

Dari sudut undang-undang, pelaksanaan darurat juga tidak menggantung Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di mana Peraturan 11 (2) dengan jelas menyebut: “Ketua atau Timbalan Ketua Majlis (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.”

Tidak dinafikan ada Peraturan 11 (3) yang memberi pengecualian kepada perkara ini, tetapi asasnya tetap sama, iaitu keputusan hendaklah dibuat oleh Perdana Menteri selaku Ketua Majlis, dan ia hanyalah terhad kepada perkara tertentu sedangkan urusan-urusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk dibincangkan bukan terhad kepada perkara tertentu sebegitu tetapi merangkumi banyak aspek.

Walau apa pun legal standing perbincangan khas ini, selaras prinsip kesetiaan kepada Raja dan selaku pendukung institusi Raja-Raja Melayu, maka adalah tidak wajar untuk kerajaan dilihat tidak akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Lantas apa yang seharusnya menjadi pokok perbincangan sekarang hanyalah bilakah tarikh ‘secepat mungkin’ untuk persidangan Parlimen diadakan, sepertimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu itu boleh dicapai.

Kita percaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sama sekali berniat mahu lari dari persidangan Parlimen, apa lagi untuk mengelakkan diri daripada terpaksa menghadapi pilihan raya umum kerana beliau pastinya mahukan mandat yang lebih kukuh untuk memerintah negara.

Sepertimana dititahkan, persidangan Parlimen sewajarnya difokuskan kepada perbincangan mengenai kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat sahaja khususnya yang menyentuh mengenai usaha-usaha menangani Covid-19 dan impaknya.

Begitupun, jika masih ada pihak yang gatal tangan untuk menggunakan ruang persidangan Parlimen untuk cuba merebut kuasa sekalipun, adalah diyakini ia tidak akan mampu dicapai dalam keadaan parti-parti pembangkang sesama sendiri berpecah-belah.

Sebab itulah Perdana Menteri sewaktu mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu memberikan komitmen sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga PPN, iaitu sekitar September atau Oktober setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

Ini adalah selari dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelumnya bahawa suatu mesyuarat telah diadakan secara maya antara beliau dengan Yang Di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 4 Jun 2021 bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid.

Pelaksanaan Parlimen secara hibrid pastinya memerlukan sedikit masa untuk penelitian terperinci terhadap aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan selain mengambil kira keperluan memberi notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum persidangan Parlimen bermula.

Tegasnya, bila tarikh sebenar persidangan Parlimen ini diadakan adalah tidak penting tetapi apa yang jauh lebih penting ialah untuk kerajaan dilihat akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenainya serta memulakan proses ke arahnya dengan seberapa segera yang boleh.

Pada masa sama, mungkin rombakan Kabinet juga perlu dibuat bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong supaya perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara serta titah Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) dan Setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (CENDEKIAWAN).

Muhyiddin Perlu Rombak Kabinet


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Takiyuddin Menjawab Titah Tuanku

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker