Telefon YTL terbakar, tiada ada laporan sebelum ini
YTL Communications memandang serius laporan telefon subsidi terbakar ketika kelas dalam talian dan akan melakukan penyiasatan menyeluruh berkenaan insiden itu.
Kata ketua pegawai eksekutifnya, Wing K Lee, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan tentang isu keselamatan berhubung telefon pintar berkenaan yang dibangunkan secara bersama untuk tujuan pendidikan antara YES dan China Mobile – operator rangkaian terbesar di dunia.
Pagi tadi, Malaysiakini melaporkan insiden telefon terbakar di Gombak ketika seorang murid darjah tiga sedang menggunakannya untuk kelas dalam talian pada Isnin lalu. Insiden itu disaksikan dan diceritakan ibu saudara murid itu, Suryani Abd Ghani.
Kata Wing, sebaik sahaja mengambil maklum mengenai laporan yang disiarkan pagi tadi, syarikatnya telah menghubungi Suryani untuk menjalankan penyiasatan, namun diminta untuk menghubungi ayah kepada murid itu sendiri yang juga saudara lelakinya.
“Pada masa kenyataan ini, kami masih tidak dapat menghubunginya (ayah murid berkenaan) atau menerima apa-apa komunikasi daripada Puan Suryani atau dari adik/abangnya itu. Kami sedang meneruskan usaha menghubungi pelanggan itu.
“[…] Model (telefon) yang sama disumbangkan oleh Yayasan YTL kepada lebih 100,000 keluarga B40 di bawah inisiatif ‘Belajar dari rumah’ sejak PKP (perintah kawalan pergerakan) pertama tahun lepas.
“Kami tidak menerima laporan sebarang insiden tentang keselamatan telefon itu. China Mobile mengesahkan bahawa bateri sama yang digunakan telefon ini telah dihasilkan sejak 2018 dan lebih 4.5 juta unit telah dihantar secara global tanpa sebarang insiden seumpama ini dilaporkan.
“Bagaimanapun, kami memandang serius insiden yang dilaporkan ini memandangkan keselamatan produk dan pengguna kami adalah sangat penting dan kami akan menyiasat hal ini dengan menyeluruh,” katanya.
Kerajaan telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion, yang bertujuan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mendapatkan peranti dan akses internet untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
YES di bawah YTL Communications merupakan salah satu syarikat telekomunikasi yang turut serta dalam program itu.
Yayasan YTL turut mempunyai program “Belajar dari rumah” yang menyasarkan keluarga B40 yang memerlukan peranti.
Di bawah Jaringan Prihatin, calon yang layak boleh memilih untuk menerima peranti mudah alih, yang disubsidi kerajaan bernilai RM300, atau memilih pelan data dengan rebat RM180 selama 12 bulan.
Penerima turut boleh memilih untuk menambah wang sendiri sekiranya mahukan peranti yang berharga atas RM300. Pembelian itu dibuat menerisi perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Mengulas lanjut, Wing memberitahu, YES menawarkan dua pelan di bawah program subsidi kerajaan itu – untuk keluarga dan individu – dan kedua-dua pelan itu ditawarkan tanpa bayaran deposit, bayaran pendahuluan atau bayaran bulanan dan tiada kontrak.
“Ini dimungkinkan dengan sokongan Yayasan YTL bagi membolehkan keluarga B40 yang mempunyai anak bersekolah namun tidak mampu membayar harga peranti atau data, supaya mereka dapat berhubung dan belajar dari rumah”.
Katanya lagi, pelan YES Prihatin menerima permohonan memberangsangkan daripada keluarga B40.
Baru-baru ini juga, kerajaan negeri Perak dikritik kerana mengedarkan telefon pintar yang didakwa tidak berkualiti kepada pelajar daripada keluarga B40. Telefon yang disumbangkan Yayasan YTL itu merupakan model YES Altitude 3.
Mengulas hal itu, Wing berkata, sumbangan terhadap kerajaan negeri Perak di bawah inisiatif “Tuisyen Cikgu Saarani” itu tidak ada kena-mengena dengan program Jaringan Prihatin.
Ia sebaliknya merupakan usahasama antara kerajaan negeri Perak dan Yayasan YTL di bawah inisifati ‘Belajar dari rumah’ anjuran yayasan, menyasarkan keluarga B40 yang memerlukan peranti.
“Telefon dan pelan data (dalam inisiatif itu) ditaja sepenuhnya dan dibiayai oleh yayasan,” katanya lagi.
Telefon YTL terbakar, tiada ada laporan sebelum ini
Baca Artikel Menarik :
- Punca Lelaki Sembunyi Di Bawah Gaun Pengantin Perempuan [VIDEO]
- Tiada ruang kerjasama dengan Najib, Mahathir ulangi pendirian
- Doktor pelatih lakukan seks dan cabul pesakit didakwa
- ‘Saya Nak Cuba Berkhidmat, Bukan Nak Jadi Pembesar Negara’ – Mahathir
- “Dulu Check Boarding Pass, Sekarang Check MySejahtera” [VIDEO]
- Resepi Kuih Jongkong Perak
Layari Laman Facebook MYKMU NET
You must be logged in to post a comment.