Penyelesaian terbaik untuk negara

Penyelesaian terbaik untuk negara

Penyelesaian terbaik untuk negara

DALAM kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia masih tertinggal dalam kadar vaksinasi Covid-19. Data setakat 10 Jun lalu menunjukkan negara kita di tangga keempat, di belakang Singapura, Kemboja dan Laos.

Kita bukan sahaja masih bergelut menangani pandemik ini tetapi juga isu-isu yang melingkarinya. Mengapa moratorium hanya diberi kepada golongan B40 tetapi tidak diperluaskan ke M40 dan T20? Bukankah moratorium enam bulan yang dilaksanakan tahun lepas masih menyaksikan bank-bank mencatat keuntungan besar berbilion-bilion ringgit?

Dua bank terbesar tempatan masing-masing melaporkan keuntungan bersih RM6.48 bilion dan RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Ini sekali gus menimbulkan persoalan, mengapa bank enggan melanjutkan moratorium?

Kerana itu tidak hairanlah ada pihak yang menempelak Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyatakan kerajaan tidak boleh memaksa dan mengawal bank. Menteri Kewangan itu diminta menjadi pemimpin berjiwa rakyat, bukan pemimpin berjiwa banker.

Hal-hal berkisar inilah diyakini akan disentuh dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah dipengerusikan Seri Paduka di Istana Negara, esok. Ini susulan tindakan Seri Paduka yang sanggup mencemar duli memanggil semua presiden parti-parti politik utama menghadapnya minggu lepas untuk mendengar isu-isu semasa yang dibangkitkan.

Realitinya pada masa lalu, Yang di-Pertuan Agong bebas untuk menyuarakan pendapat dalam pelbagai perkara. Seri Paduka boleh mencadangkan sesuatu kepada perdana menteri atau memberi teguran mengenai tandas kotor atau jamuan negara yang menjemukan pada malam sebelumnya. Dari isu keselamatan ke pembinaan istana, dari permasalahan Islam berbilang mazhab kepada pembinaan hotel, semua ini pernah dibangkitkan oleh Agong-Agong sebelum ini.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitah mana-mana menteri untuk memberi taklimat kepadanya. Realitinya, Yang di-Pertuan Agong menikmati fungsi eksekutif jika tidak kuasa de facto eksekutif.

Kuasa pengimbang

Hakikatnya, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. Yang di-Pertuan Agong, sultan-sultan atau Majlis Raja-Raja berfungsi di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan. Pertama, melantik seseorang perdana menteri. Kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak) dan ketiga, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah Perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Lazimnya siapa yang dinasihati perdana menteri untuk menjadi menteri besar atau ketua menteri sesebuah negeri, nasihat atau cadangan itu dipersetujui sahaja oleh raja.

Tetapi dalam hal Perlis dan Terengganu, raja dan sultan enggan melantik calon-calon yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu). Sebaliknya raja dan sultan kedua-dua negeri melantik Datuk Seri Md. Isa Sabu (Perlis) dan Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu).

Masih ingatkah budi bicara Almarhum Sultan Azlan Shah untuk menyelesaikan krisis politik di Perak pada 2009? Ini boleh dijadikan teladan dalam meredakan kemelut peralihan kepemimpinan negeri atau Pusat.

Barisan Nasional (BN) di Perak ketika itu menubuhkan kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO, seorang ADUN MCA dan tiga Bebas. Ia susulan kejayaan BN menarik empat ADUN daripada PKR dan DAP termasuk ADUN Bota yang kembali kepada UMNO dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu.

Almarhum menggunakan budi bicara baginda selaku Sultan Perak untuk menentukan menteri besar daripada Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ADUN. Almarhum yang pernah menjadi Presiden Mahkamah Agung (kini Ketua Hakim Negara), satu-satunya sultan terlibat secara langsung dalam pertukaran kerajaan negeri di pertengahan penggal. Ia menjadi legasi terbesar dalam krisis Perak. Bagaimanapun, kaedah itu tidak diguna pakai dalam pertukaran menteri besar selepas itu, iaitu Selangor (2014) dan Perlis (2018).

Sokongan majoriti

Hari ini, dalam kalangan rakyat merasakan asas utama proklamasi darurat untuk mengekang Covid-19 dinilai ‘gagal’ kerana jumlah jangkitan semakin meningkat.

Proklamasi ini untuk menyelamat kerajaan, dakwa mereka. Pada masa sama, seakan ada usaha untuk mengikis kredibiliti institusi istana. Ini berikutan tanggapan ‘kerajaan ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang secara tidak langsung terkait sama.’

Justeru, jika ada berpandangan pilihan raya umum tidak sesuai diadakan kerana bencana Covid-19 kritikal, maka perkara-perkara berikut boleh turut difikirkan oleh pihak istana:

1. Majlis Raja-Raja mengekalkan status quo kerajaan sedia ada.

2. Tubuh Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang disarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

3. Melantik perdana menteri interim dengan penyertaan semua parti politik ala kerajaan perpaduan.

4. Melantik seorang perdana menteri yang diyakini memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pilihan keempat bermaksud semua pihak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Seri Paduka untuk melantik seorang perdana menteri berpandukan Perkara 43(2) – syarat pelantikan seseorang perdana menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, seseorang itu mendapat keyakinan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kita percaya pilihan keempat adalah nas penyelesaian terbaik bagi Malaysia yang mempraktikkan sistem Westminster. Ini sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur, seterusnya kestabilan kepada negara. Dan pastinya ada dalam kalangan parti gabungan politik yang memiliki ‘nombor yang solid’ untuk meyakinkan pihak istana.

Pelbagai peristiwa sejarah menunjukkan secara amnya orang-orang Melayu menerima dan akur kepada hakikat kesultanan mereka walaupun kadangkala berlaku peristiwa penderhakaan kepada raja. Sebuah pepatah berbunyi:

Raja adil, raja disembah
Raja zalim, raja disanggah.

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Penyelesaian terbaik untuk negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Aliff kena masuk kelas masakan sebelum jual produk makanan – Chef Wan

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker