Malaysia perlu kerajaan interim dipercayai rakyat – Johari

Sebaran :

Malaysia perlu kerajaan interim dipercayai rakyat - Johari

Malaysia perlu kerajaan interim dipercayai rakyat – Johari

Malaysia perlu kerajaan telus, dipercayai rakyat, untuk atasi krisis Covid-19, kata Johari

Apa diperlukan negara dalam menghadapi krisis kesihatan dan ketidakstabilan politik semasa adalah parti politik tampil membentuk sebuah kerajaan interim yang dipercayai rakyat, kata Johari Ghani.

Bekas menteri kewangan kedua itu berkata, misi kerajaan interim berkenaan semata-mata tertumpu kepada menangani pandemik Covid-19 demi menamatkan krisis kesihatan yang mencengkam negara sejak tahun lalu.

“Kerajaan interim ini akan diberikan tempoh khusus dan ruang masa mencukupi bagi memastikan tumpuan penuh diberikan kepada menangani pandemik berkenaan, termasuk mengendalikan program vaksinasi kebangsaan secara telus,” katanya.

Johari mencadangkan satu cara keluar daripada kemelut sekarang adalah Yang di-Pertuan Agong melantik sebuah kerajaan interim yang mampu meraih kepercayaan rakyat dan majoriti parti politik.

Beliau berkata, seseorang yang mempunyai nilai kepimpinan serta berpengalaman dalam menguruskan krisis harus dilantik untuk mengetuai kerajaan interim yang dicadangkan itu.

“Individu berkenaan tidak boleh mempunyai apa-apa ‘political baggage’ atau kepentingan diri dan tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mengambil peranan aktif dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Johari.

Cadangan Johari itu menyusul rasa kecewa yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terhadap usaha kerajaan selama ini menangani pandemik Covid-19 dan isu berkaitan.

Kekecewaan itu berpaksi kepada kegagalan kerajaan bersikap tegas, SOP “flip flop” (berubah-ubah), arahan dan kenyataan yang mengelirukan, dwi-standard dalam melaksanakan SOP, dan program vaksinasi yang lembab.

Kenyataan Johari itu dibuat sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dijadual mengadakan perjumpaan dengan Raja-Raja Melayu lain dalam usaha mengorak langkah keluar daripada krisis kesihatan, ketidakstabilan politik, dan keperitan ekonomi yang dihadapi Malaysia ketika ini.

Johari turut menggariskan beberapa cadangan untuk menangani pandemik dan masalah ekonomi berkaitan.

Menegaskan kerajaan interim yang dicadangkannya harus memastikan tidak ada sesiapa kelaparan, Johari menggesa penyelarasan mantap diadakan antara Ahli Parlimen, ADUN, Jabatan Kebajikan, dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan setiap penduduk di semua pelusuk mendapat bantuan diperlukan.

Beliau menegaskan bantuan kewangan kepada golongan sasaran harus diagihkan secepat mungkin.

“Program imunisasi pula harus digerakkan 100% untuk manfaat orang awam demi memastikan nyawa dan mata pencarian dapat diselamatkan, malah diselamatkan segera,” katanya.

Pemimpin Barisan Nasional itu menegaskan tidak ada sesiapa harus mengaut keuntungan daripada bantuan yang disalurkan kepada rakyat.

Johari menegaskan keperluan untuk segala perolehan bantuan termasuk kelulusan dan pembelian vaksin, serta pengagihannya kepada hospital dan doktor swasta yang dilantik mesti dilakukan dengan penuh ketelusan.

“Ini harus dilakukan dengan segera. Kita harus menjadikan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai penanda aras dalam apa jua yang diputuskan bagi menangani keadaan kecemasan sekarang.

“Jika kita telus, dunia akan tampil memberi sokongan dalam memastikan Malaysia mempunyai bekalan vaksin secukupnya,” tambah beliau.

Pelaburan besar-besaran

Johari juga menegaskan keperluan kerajaan interim yang dicadangkan membuat pelaburan besar-besaran dengan segera untuk memperluaskan unit penjagaan rapi di hospital dan pembelian peralatan berkaitan.

Selain itu, pusat sementara harus dikenalpasti di setiap kawasan Parlimen untuk membantu pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan peralatan pernafasan.

Johari juga mahukan kerajaan interim berkenaan mengkaji kesesuaian penggunaan ubat-ubatan generik sebagai alternatif dalam rawatan pesakit Covid-19 yang tidak kritikal, sementara mereka menunggu giliran untuk divaksin.

Antara ubat yang dimaksudkan adalah Chloroquine, Hydroxychloroquine, and Lopinavir-Ritonavir yang sudah pun diluluskan dan didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kementerian Kesihatan juga harus bersikap terbuka kepada ubat-ubat alternatif lain yang diguna pakai di negara lain, atau yang telah diluluskan oleh badan antarabangsa seperti WHO,” kata beliau.

Johari berkata, kebergantungan kepada vaksin semata-mata sebagai jalan keluar pandemik berisiko kerana ia dipengaruhi isu-isu berkait pengeluaran dan logistik serta varian virus baharu dan tempoh keberkesanan vaksin itu sendiri.

Beliau berkata, di United Kingdom, kes Covid-19 kini menokok semula kerana kemunculan varian Delta, walaupun 50% daripada penduduknya sudah divaksin.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan UK terpaksa menangguhkan keputusan melonggarkan sekatan yang dikenakan atas penduduknya.

Mengenai ekonomi, Johari berkata perniagaan boleh meneruskan operasi dengan syarat majikan menjalankan ujian saringan secara besar-besaran ke atas pekerja mereka.

Kerajaan interim yang dicadangkan, kata beliau, harus mewajibkan majikan menjalankan ujian skala besar itu secara mingguan dan mereka yang disahkan positif harus dikuarantin di kediaman masing-masing.

Johari berkata majikan yang gagal berbuat demikian tidak harus diberikan permit untuk beroperasi.

Untuk menggalakkan ujian saringan secara besar-besaran atas pekerja, beliau mencadangkan majikan diberikan potongan cukai berganda atas kos ujian Covid-19 itu.

Johari berkata, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan juga boleh memberikan bantuan subsidi kepada industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menjayakan program ujian saringan berkenaan.

Bekas menteri itu turut berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mula membuat perancangan bagaimana untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Oleh kerana pandemik ini mungkin akan kekal lebih lama daripada dijangkakan, kaedah penganjuran pilihan raya perlu berbeza, kata Johari.

Justeru, kata beliau, SPR harus mengkaji bagaimana negara lain mampu mengadakan pilihan raya dan pada masa sama memastikan jumlah kes jangkitan pada tahap serendah mungkin. FMT

Malaysia perlu kerajaan interim dipercayai rakyat – Johari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET



Sebaran :

Leave a Reply