Ubat Covid-19 : 2,600 penjual online disekat

Ubat Covid-19 : 2,600 penjual online disekat

Nak elak COVID-19, terbeli pula ubat palsu..! 2,600 penjual online disekat, RM2.2 juta ubatan dirampas

MEMANDANGKAN pandemik COVID-19 menyebabkan kebimbangan masyarakat terhadap penyakit tersebut meningkat, semakin banyak laman web kini menjual produk atau ubatan berkaitan penyakit itu yang tidak berdaftar, palsu dan berbahaya di dalam talian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdulah berkata, sehubungan itu, Operasi Pangea XIV 2021 dilancarkan pada 18 sehingga 25 Mei lalu bagi membanteras masalah tersebut dan Malaysia telah sembilan kali menyertai operasi yang dijalan di seluruh dunia tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Operasi Pangea XIV memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya termasuk peranti perubatan dan pada tahun ini, tumpuan diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan COVID-19.

Dr. Noor Hisham berkata, melalui operasi itu, sebanyak 2,600 pautan laman web berkaitan telah disekat dan lebih RM2.2 juta ubatan tidak berdaftar telah dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh negara.

Di Malaysia, operasi tersebut melibatkan kerjasama antara beberapa agensi dalam Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga agensi lain seperti National Central Bureau (NCB)/ Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

“Operasi Pangea XIV juga menunjukkan bahawa penjual yang tidak bertanggungjawab terus menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak COVID-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan COVID-19, pelitup muka (face mask), thermometer, sarung tangan, gaun pembedahan, test-kit untuk COVID-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa peranti perubatan banyak dijual di dalam talian,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata,selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 157 bungkusan pos didapati mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas yang bernilai RM108,352.

Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952 dan 18 perastus merupakan ubat-ubatan terkawal di bawah kategori bahan psikotropik.

Manakala, selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.

Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri dengan 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM 42,213.

Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

Dalam operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu.

Dalam serbuan tersebut, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut dan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 2,071,855. Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

Kenyataan itu berkata, pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan COVID-19, masih lagi disaring dan disekat, manakala notifikasi juga sentiasa dikeluarkan kepada platform e-marketplace bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama.

Selain itu, orang ramai perlu memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada di atas talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut.
Utv

Ubat Covid-19 : 2,600 penjual online disekat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Vaksin tingkat daya tahan tubuh bukan ubat kebal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker