Allah benci orang yang suka bermegah dengan kuasa, jawatan
Syeikh Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku karangannya yang bertajuk Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai 10 celaan Allah S.W.T. terhadap manusia akibat daripada kelakuan dan tabiat manusia itu sendiri dalam menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan 10 sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
Seseorang yang terlalu kuat makan dan bersikap tidak sopan ketika menjamah makanan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang dan menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuatkan seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik sehingga mencetuskan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
4. Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnahkan hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir daripada perasaan hasad dengki. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dengki itu memakan segala kebaikan.” – (Hadis riwayat Muslim).
5. Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang daripada membelanjakan sebahagian daripada hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Terlalu bermegah-megah dengan kekayaan, status, jawatan, gelaran boleh membawa kepada perasaan riak dan takbur.
7. Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi sehingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat ego dan sombong akan membuatkan seseorang itu berasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara berbanding orang lain sehingga mereka lupa bahawa hanya Allah S.W.T. saja yang bersifat Maha Besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur-unsur megah dan sombong diri dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan oleh Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi oleh perasaan sombong dan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan hati.
Jauhilah daripada sikap-sikap yang dicela oleh Allah ini, kerana jika diamalkan akan termasuk dalam kategori melakukan dosa-dosa besar. Utv
Baca Artikel Menarik :
- ‘Dihukum’ Penduduk Kampung, Bekas Pesakit Covid-19 Mohon Ampun
- Mona Allen terima mesej ‘gila’
- Resepi Pulut Durian Siam Santan Meleleh
- Resepi Siakap Goreng Sos Plum sedap sekali
- Sindir Pas, Parti Sains serah permohonan kepada ROS
- Zambry perlu wujudkan rasa muhibah parti dalam BN – Penganalisis
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Elakkan tidur bersama syaitan. Ini amalan yang Baginda s.a.w. tidak pernah tinggal sebelum tidur