Zambry perlu wujudkan rasa muhibah parti dalam BN – Penganalisis
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kini menggalas tanggungjawab besar untuk mewujudkan rasa muhibah dan perpaduan dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN).
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dan Penganalisis Politik UiTM, Profesor Datuk Ismail Sualman berkata, tanggungjawab itu perlu diberi perhatian khusus dan bukan dianggap mudah pada waktu ketegangan politik negara akhir-akhir ini.
Keperluan mewujudkan semangar muhibah itu, kata Ismail, amat penting kerana perkara yang perlu dielakkan ialah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kelak, masih lagi wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen.
“Solidariti itu perlu diwujudkan, inilah cabaran paling getir Zambry. Apatah lagi beliau tentu menjadi antara perancang utama dalam PRU akan datang yang dianggap sengit.
“Analisis saya, pada PRU akan datang menunjukkan tidak ada mana-mana parti yang dominan untuk menjuarai mana-mana pilihanraya tanpa ada kerjasama di antara parti-parti sedia ada.
“Maka ini juga senario yang perlu dilihat dalam parti politik sekarang ini dan ini juga satu cabaran kepada bagaimana ingin merakyatkan ahli dalam BN dan menggunakan logo BN sebagai relevan pada PRU15 ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Dewan Tertinggi BN pilih Zambry sebagai Setiausaha Agung baharu
BACA: PRU15: Manifesto Barisan Nasional tidak akan seperti ‘Janji Manismu’ Pakatan Harapan – Ahmad Zahid
Pada Selasa, Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk memilih bekas Menteri Besar Perak itu sebagai Setiausaha Agung yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan mesyuarat secara maya yang dihadiri kesemua empat parti komponen – UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, pelantikan Zambry proses menyiapkan strategi gabungan itu menghadapi PRU15 yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
Ujarnya, ia sekali gus cabaran kepada Zambry sendiri untuk memastikan gabungan itu sentiasa relevan di mata rakyat.
“Pertama sudah pasti menyiapkan, merangka strategi hala tuju bagi BN dalam menghadapi PRU15 dan kita tahu bahawa PRU15 akan berlaku bila-bila masa.
“Ini cabaran utama Zambry sebagai Setiausaha Agung BN, apabila berhadapan dan bercakap mengenai PRU, maka sudah pasti BN harus mempunyai hala tuju jelas yang boleh diterima semua parti komponen dan perlu memastikan perjuangan BN perlu sentiasa relevan dengan aspirasi rakyat.
“BN sedang menghadapi persaingan dari Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Achmad Dzariean, UMNO sebagai tonggak BN kini perlu memastikan gabungan itu mempunyai hala tuju jelas pada masa akan datang termasuk dalam isu penjajaran baharu serta dinamika politik mereka.
Mengulas isu sama, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Kartini Aboo Talib berkata, Zambry memikul tanggungjawab besar kerana BN tidak sekuat dahulu.
“BN perlu fikir strategi perkukuh Melayu dan menarik sokongan bukan Melayu.
“Bagi bukan Melayu di kawasan bandar yang kini menyokong DAP, BN harus memikirkan strategi pantas terutama kerjasama ekonomi bersama bukan Melayu,” ujarnya. Bernama
Dewan Tertinggi BN pilih Zambry sebagai Setiausaha Agung baharu
You must be logged in to post a comment.