Misil BUK Rusia punca nahas MH17
The Hague: Hakim Belanda pada Selasa memaklumkan nahas pesawat MH17 di Ukraine pada 2014 berpunca daripada peluru berpandu BUK buatan Rusia.
Hakim dalam perbicaraan terhadap tiga warga Russia dan seorang Ukraine dalam nahas yang mengorbankan 298 penumpang pesawat Malaysia Airlines, mengemukakan bukti secara rasmi minggu ini.
Serpihan pesawat yang dianalisis di tempat kejadian ‘selari dengan peluru berpandu BUK’ dan siasatan mendapati ‘tidak ada kemungkinan lain’, kata Hendrik Steenhuis yang mengetuai barisan hakim.
Dalam perbicaraan itu juga, mahkamah ditayangkan video yang menunjukkan kepulan asap dari sebuah padang berhampiran Pervomaiskyi di timur Ukraine yang dirakam pada waktu Boeing 777 itu terhempas.
Menurut saksi, satu peluru berpandu dilihat terbang selama 20 saat sebelum meletup pada kokpit kapal terbang, kata hakim.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Penyiasatan antarabangsa sebelum ini menyimpulkan punca nahas disebabkan peluru berpandu BUK dari Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk.
Peguam bela dan pegawai Rusia bagaimanapun cuba mempertikaikan kemungkinan lain termasuk nahas berpunca kerana ditembak jet pejuang Ukraine. HM
Rundingan MH17: Australia, Belanda berang tindakan Rusia melarikan diri