Kematian: Trend kes BID membimbangkan


Kuala Lumpur: Kematian di luar hospital akibat Covid-19 atau brought in dead (BID) semakin membimbangkan terutama selepas kemunculan varian baharu yang dilaporkan tidak mempunyai gejala.

Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini melaporkan trend BID kian meningkat dengan kes BID tertinggi harian direkodkan pada 22 Mei lalu iaitu 10 kes.

Kes BID merujuk kepada kematian di luar hospital dan kematian disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat dilakukan.

Ketika ini, negara merekodkan 402 kes BID setakat ini iaitu 267 kes tahun ini (setakat 31 Mei lalu) manakala baki 135 kes direkodkan tahun lalu.

Berdasarkan statistik KKM, kes kematian BID yang mempunyai penyakit sebanyak 267 kes, tidak berpenyakit (103 kes) dan tiada maklumat (32 kes).

Kematian tertinggi dicatatkan pada Mei lalu iaitu sebanyak 122 kes BID atau 9.37 peratus daripada 1,144 kematian direkodkan tahun ini.

Berdasarkan perkongsian di Facebook KKM terdapat tiga senario yang mungkin berlaku kepada pesakit BID.

Menurut KKM, senario pertama apabila pesakit Covid-19 mempunyai gejala seperti demam dan batuk hanya pergi ke klinik untuk dapatkan ubat.

“Mereka tidak melakukan ujian saringan Covid-19 dan beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

“Bagi senario kedua pula, pesakit didapati positif Covid-19 dan sudah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta, bagaimanapun pesakit ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah) atau hospital,” katanya.

Bagi senario ketiga, KKM menjelaskan, pesakit mula hilang deria rasa dan sangat letih, tetapi tidak mengambil serius gejala ini.

“Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah,” katanya.

Lebih merisaukan ada sesetengah kes didapati pesakit enggan mendapatkan rawatan di hospital walaupun sudah disahkan positif Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mendedahkan, kes BID dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun saban hari menunjukkan peningkatan.

“Kebanyakan pesakit muda tidak menyedari mereka sudah dijangkiti Covid-19 kerana tidak bergejala sedangkan paras oksigen dalam badan semakin rendah berikutan kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik.

“Keadaan ini dinamakan happy hypoxic iaitu pesakit Covid-19 tidak menunjukkan gejala sukar bernafas dan berasa normal walaupun tahap oksigen dalam badan berkurangan,” katanya dalam sidang media sebelum ini.

Dr Adham berkata, kebanyakan golongan muda menganggap perkara biasa sekiranya rasa sedikit penat lebih-lebih lagi jika mereka tidak tahu sudah dijangkiti Covid-19.

“Apa yang boleh disimpulkan, happy hypoxia boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen tidak dapat dikesan serta dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital,” katanya. HM

Lapan kes brought in dead, jangan tunggu gejala makin teruk baru nak buat ujian- KKM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker