UMNO Seremban minta Lembaga Disiplin ambil tindakan isu video lucah
SEREMBAN: “Saya sudah hantar laporan mengenai perkara itu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Disiplin UMNO untuk tindakan lanjut.
“Terpulang kepada pihak terbabit membuat penilaian,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarof.
Beliau mengulas mengenai penyebaran satu video berunsur lucah yang tular dipercayai membabitkan seorang pemimpin UMNO di Negeri Sembilan, sejak Jumaat lalu.
Mazalan berkata, pihaknya juga sudah memanjangkan perkara itu kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan sewajarnya sebaik mendapat tahu mengenai penyebaran video terbabit.
“Penyebaran video berunsur lucah itu dikesan sejak Jumaat lalu dan setakat ini ia disebarkan secara meluas.
“Berdasarkan apa yang disaksikan dalam video itu ia sangat mengaibkan dan sudah pasti boleh menjatuhkan reputasi serta nama baik UMNO. Adalah tidak sesuai perkara atau isu tidak baik sebegini timbul ketika usaha sedang dibuat bagi memperkukuhkan parti,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Mazalan berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang penjelasan berhubung video itu daripada pemimpin yang dikesan dalam video berkenaan.
Katanya, segala perhubungan dengan pemimpin itu juga terputus apabila panggilan telefon tidak berjawab, manakala Facebook juga dipadam.
“Semua kumpulan aplikasi WhatsApp beliau keluar, jadi kami tidak tahu apa situasi sebenar, jika kes itu tidak benar beliau perlu tampil beri penjelasan.
“Jika perkara itu benar, beliau perlu bertanggungjawab dalam menjaga dan mempertahankan nama baik UMNO iaitu dengan meletakkan jawatan.
“Setakat ini, kami tidak membuat laporan polis kerana mahu menyerahkan kes ini kepada MKT dan Lembaga Disiplin UMNO untuk penilaian dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pihaknya menyerahkan kepada MKT UMNO untuk menjalankan siasatan.
“Pemuda UMNO tetap dengan prinsip, benar tetap benar, salah tetap salah. Semoga perkara yang berlaku ini menjadi iktibar untuk kita semua,” katanya. BH
You must be logged in to post a comment.