Tiada siapa mahu tahanan dianiaya – Arifai Tarawe


Tidak ada sesiapa mahu tahanan dianiaya, apa tah lagi polis, kata OCPD Gombak

Tiada apa yang perlu disembunyikan polis dalam kes kematian A Ganapathy, kata Ketua Polis Gombak, Arifai Tarawe, yang berikrar siasatan telus dan menyeluruh berhubung dakwaan penjual susu lembu itu dipukul semasa dalam tahanan.

Arifai berkata sesetengah pihak salah faham mengenai kes berkenaan dan beliau mahu membetulkan tanggapan tersasar itu yang memberi kesan pada moral pegawai dan anggota polis Gombak.

“Kematian Ganapathy, dan kemudian kematian S Sivabalan…kejadian seperti ini amat mendukacitakan kami. Mana ada polis yang mahu menganiaya atau membahayakan nyawa tahanan? Saya mahu tegaskan : anggota dan pegawai saya tidak menganiayai atau mencederakan mana-mana tahanan,” Arifai memberitahu FMT.



Beliau menyanggah tuduhan polis Gombak mendera Ganapathy, dan berkongsi fakta kes yang dimaklumkan kepada media pada 30 April lalu, bagi menyokong pendiriannya.

Katanya, Ganapathy ditahan bersama seorang lagi pada 24 Feb dan direman selama 12 hari, sehingga 8 Mac bagi membantu siasatan ke atas dua kes, iaitu kes rompak kilang dan mendatangkan kecederaan.

Sehari kemudian, Arifai berkata, Ganapathy memaklumkan kepada polis bahawa beliau menghidap penyakit jantung dan diabetes. Mendiang diberi bekalan ubat daripada keluarganya pada hari yang sama.

Semasa dalam tahanan, Ganapathy dibawa ke Hospital Selayang sebanyak empat kali, iaitu antara 28 Feb hingga 7 Mac, untuk menerima rawatan masalah kesihatan akibat kecederaan lama yang dialami sebelum penahanannya itu, kata Arifai.



“Pada hari Ganapathy dibebaskan dari tahanan, doktor yang merawatnnya mengesahkan beliau menghidap ‘necrotising fasciitis’ iaitu kondisi kesihatan yang memberi kesan pada tisu kakinya. Maka dengan itu, kaki kanannya perlu dipotong,” kata Arifai.

Rawatan Ganapathy di hospital diteruskan namun tahap kesihatannya makin merosot dan akhirnya meninggal dunia pada 18 April, selepas 43 hari dirawat.

“Bedah siasat di Institusi Perubatan Forensik Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan mendiang meninggal dunia kerana ‘necrotising fasciitis’ pada kaki kanannya, yang dirumitkan lagi dengan sepsis,” kata Arifai.

Sepsis melibatkan jangkitan yang menyebabkan kerosakan kepada tisu dan organ badan.



“Kami telah bawa Ganapathy ke Mahkamah Majistret sebanyak tiga kali dan ke hospital, empat kali, tidak pernah sekali pun mendiang beritahu hakim atau kakitangan kesihatan dia didera polis,” tambah Arifai.

Beliau menambah, dua kali peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mewakili mendiang di Mahkamah Majistret dan ketika itu pun tidak ada aduan mengenai dakwaan penderaan.

Anak diejek

Arifai turut berkongsi dengan FMT betapa kes itu meninggalkan kesan pada pegawai dan anggotanya serta beliau sekeluarga.



“Saya sudah terbiasa dengan kritikan, memandangkan sudah bertahun-tahun saya berdepan masyarakat (selaku pegawai polis) tapi (dalam kes Ganapathy), saya betul-betul terasa apabila anak-anak saya diejek sebagai mempunyai ‘bapa jahat’ oleh kawan-kawan mereka dan komen – komen negatif netizen.

“Anak-anak saya tahu tuduhan kawan-kawan mereka itu tidak benar sama sekali, tapi mereka terasa, dan hati saya, sebagai seorang bapa, remuk bila tengok mereka bersedih,” kata Arifai.

Arifai menambah sebarang dakwaan dera atau salah laku oleh polis memberi kesan pada anggota pasukan berkenaan dan bukan mudah untuk mengubah persepsi umum meskipun tuduhan itu tidak benar.

“Siapa yang mahu dilabel (mendera orang)? Tak munasabah kami mahu berkelakuan dalam cara yang akan menyebabkan anggota polis dipandang serong masyarakat.



“Bagi pasukan polis, rukun kami adalah ‘masyarakat dan polis berpisah tiada’, jadi kami tidak mahu dipandang serong masyarakat,” tambah beliau.

Arifai berkata atas sebab itu beliau terbuka pada cadangan suatu inkues diadakan selepas siasatan kes Ganapathy selesai.

Saman FMT

Berhubung saman RM10 juta terhadap FMT, Arifai akui beliau tersinggung apabila kes Ganapathy dimasukkan sebagai latar belakang dalam laporan mengenai pertukarannya ke Bukit Aman.



“Namun selepas merenung kembali hal ini, saya sedar tidak ada niat untuk memburukkan saya, dan pemberita hanya melaksanakan tugas melaporkan berita.

“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk selesaikan perkara ini secara baik dengan FMT. Kita bersetuju untuk mengadakan pertemuan ini, dan, saya menjelaskan kedudukan saya dan FMT pula menegaskan tidak ada niat untuk memburukkan saya atau anak buah saya.

“Jadi saya tarik balik saman terhadap FMT. Polis dan media harus bekerjasama dan saling melengkapi kebertanggungjawaban mereka kepada masyarakat. Kita bukan musuh.”

Arifai juga menegaskan, sebarang persepsi beliau dipindahkan ke Bukit Aman kerana kematian Ganapathy adalah tidak betul dan tersasar daripada fakta.

Pengarang Urusan FMT, Dorairaj Nadason, turut menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama polis-media demi manfaat masyarakat.

“Kami mempunyai hubungan yang baik dan saling memerlukan dengan polis. Kami yakin kerjasama ini hanya membawa kebaikan kepada semua pihak.

“Kami sentiasa mendukung integriti kewartawanan dan percaya tidak ada salah laku di pihak kami. Sekarang, kami ingin meneruskan kerjasama dengan polis,” kata Dorairaj. FMT

Ketua Polis Daerah Gombak ditukarkan ke Unit Integriti Bukit Aman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker