Lapan ahli keluarga Exco Perak Zainol Fadzi positif COVID-19
IPOH: Exco Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan hasil ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan minggu lalu mendapati beliau negatif COVID-19.
Bagaimanapun, lapan ahli keluarga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak itu, termasuk isterinya, disahkan positif COVID-19.
Menurut Zainol Fadzi, selain isterinya yang berumur 52 tahun, lima anak perempuannya berusia 22 hingga 29 tahun, menantu lelaki berusia 29 tahun dan cucu perempuannya berusia 3 tahun, turut positif.
“Mereka kuarantin di rumah dengan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Teluk Intan kerana tidak menunjukkan simptom yang serius.
“Kecuali anak sulung saya yang mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 19 Mei lalu. Dia kini stabil dan dibenarkan keluar wad pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, beliau tetap menjalani proses kuarantin atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya sudah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19, tetapi saya tetap ambil keputusan untuk kuarantin di rumah berasingan sehingga 30 Mei nanti,” ujarnya.-Awani