Waris ‘asabah dalam faraid

Waris ‘asabah dalam faraid

Penentuan waris dalam perundangan faraid adalah berbeza-beza kesan daripada perbezaan dalil dan sumber hukum. Majoriti ilmuwan fiqh bersetuju bahawa waris ashab al-furud dan ‘asabah merupakan golongan yang disepakati untuk mendapat faraid jika berlaku kematian dalam sesebuah keluarga. Catatan faraid kali ini akan menumpukan kepada waris ‘asabah sebagai penerima harta pusaka si mati.

Perkataan ‘asabah adalah terma bahasa Arab yang bermaksud menghimpun dan menguatkan. Terma ini juga biasanya merujuk kepada keturunan lelaki atau keluarga yang bersambung di sebelah bapa.

Dari sudut istilah ilmu faraid, waris ‘asabah ialah waris-waris yang menerima keseluruhan pusaka sekiranya bersendirian iaitu apabila ketiadaan ashab al-furud atau mereka yang menerima baki pusaka sekiranya berlebihan selepas diagihkan kepada waris ashab al-furud yang sepatutnya. Dalam erti kata lain, ‘asabah ialah setiap waris yang tiada kadar bahagian tertentu secara jelas dalam al-Quran atau al-Sunnah.

Waris ‘asabah seharusnya lebih pasrah dalam agihan harta pusaka. Hal ini kerana, kadangkala mereka menerima semua harta pusaka kerana si mati tidak meninggalkan waris ashab al-furud.

Kadangkala mereka mewarisi baki selepas waris ashab al-furud dan kadangkala tidak memperolehi sebarang lebihan kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh waris ashab al-furud.

Firasat Syaikh Ahmad Yasin: Riwayat Israel tamat pada 2027?

Ketiga-tiga situasi agihan ini dapat difahami melalui contoh kes dalam Jadual 1.

Dengan andaian si mati bagi setiap situasi meninggalkan nilaian harta yang sama iaitu sebanyak RM8,000 maka waris ‘asabah akan menerima nilaian harta yang berbeza.

Berdasarkan jadual 1, waris ‘asabah tidak ditentukan bahagian masing-masing sejak awal lagi. Jika si mati tidak meninggalkan waris ashab al-furud seperti situasi 1, maka keseluruhan harta pusaka diwarisi oleh waris ‘asabah sahaja. Dalam situasi ini, habuan anak lelaki adalah sangat besar kerana mewarisi semua harta si mati.

Waris ‘asabah dalam faraidJADUAL 1

Situasi 2 menunjukkan anak lelaki sebagai waris ‘asabah menerima lebihan harta pusaka selepas diberi kepada bahagian isteri si mati. Oleh yang demikian, habuannya ialah baki iaitu 7/8 (menyamai RM7,000). Perlu diperhatikan bahawa walaupun lebihan diberikan kepada anak lelaki, namun nilaian baki tersebut lebih tinggi berbanding habuan isteri (RM1,000) sebagai waris ashab al-furud.

Bagi situasi 3, si mati meninggalkan waris iaitu suami, seorang saudara perempuan kandung dan seorang bapa saudara. Dua waris pertama menerima harta pusaka sebagai waris ashab al-furud.

Bapa saudara merupakan satu-satunya waris ‘asabah. Walau bagaimanapun tiada lebihan baki yang dapat diwarisi oleh bapa saudara kerana semua bahagian telah mencukupi untuk diserahkan kepada suami dan saudara perempuan.

Terdapat tiga kategori ‘asabah yang perlu difahami berkait hubungan kerabat keluarga si mati iaitu ‘asabah bi al-nafs (lebihan dengan diri sendiri), ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain) dan ‘asabah ma’a al-ghayr (lebihan beserta dengan yang lain).

Kepelbagaian kategori ini sekali lagi menunjukkan bahawa ilmu faraid bersifat unik dan istimewa dalam penentuan status ahli keluarga si mati. Lain ahli keluarga, maka lainlah statusnya dalam mewarisi harta pusaka.

Najib: Kerajaan PN masih belum tersedar

‘ASABAH BI AL-NAFS

Kategori ‘asabah ini melibatkan waris lelaki yang hubungannya dengan si mati tidak diselangi dengan waris perempuan. Waris ini akan mendapat keseluruhan harta pusaka jika mereka sahaja yang disenarai dalam penerima pusaka.

Namun, jika terdapat dalam senarai penerima pusaka waris-waris daripada kategori ashab al-furud, maka mereka akan mendapat bahagiannya selepas diberikan kepada ashab al-furud. Walau bagaimanapun, sekiranya kesemua harta telah diagihkan kepada ashab al-furud, maka tiada bahagian yang layak untuk diterima (Contoh seperti Jadual 1 sebelum ini).

Waris-waris lelaki yang termasuk dalam kategori ini adalah ramai melihat kepada hubungan susur galur mereka kepada si mati. Hubungan susur galur ini boleh diringkaskan seperti Jadual 2.

JADUAL 2

Keutamaan pembahagian harta pusaka adalah mengikut susunan kumpulan susur galur tersebut. Dalam erti kata lain, hanya satu kumpulan sahaja yang memperolehi agihan pusaka secara ‘asabah bi al-nafs dalam satu-satu masa.

Jika terdapat lebih daripada seorang waris daripada kumpulan yang sama, maka keutamaan diberikan mengikut kedudukan yang paling hampir dengan si mati. Sebagai contoh, si mati meninggalkan waris yang terdiri daripada anak lelaki dan cucu lelaki. Dalam kes ini, anak lelaki sahaja yang mewarisi semua harta pusaka dan lebih utama berbanding cucu lelaki.

‘ASABAH BI AL-GHAYR

Kategori ‘asabah ini terdiri daripada waris perempuan yang asalnya mempunyai bahagian yang ditetapkan (fardu) ketika bersama dengan waris lelaki yang setaraf dengannya. Dalam erti kata yang lain, waris-waris perempuan tersebut pada asalnya berstatus waris ashab al-furud tetapi berubah dengan wujudnya waris lelaki yang setaraf dengannya.

Waris-waris perempuan yang dimaksudkan hanya melibatkan anak perempuan ketika bersamanya anak lelaki, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) ketika bersamanya anak lelaki kepada anak lelaki (cucu lelaki), saudara perempuan seibu sebapa ketika bersamanya saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa ketika bersamanya saudara lelaki sebapa.

Pengagihan bagi waris ‘asabah bi al-ghayr adalah mengikut nisbah bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. (al-Nisa’: 11)

Contoh kes yang melibatkan waris ‘asabah bi al-ghayr ialah si mati meninggalkan waris iaitu isteri, seorang saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki sebapa. Dalam kes tersebut, kedudukan saudara perempuan sebapa akan berubah daripada mendapat kadar tetap kepada mendapat baki kerana wujud saudara lelaki sebapa.

Mereka akan dapat baki dengan bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan. Nilai akhir yang diperolehi oleh setiap waris ialah isteri mendapat 1/4 (menyamai 3/12), saudara perempuan seibu sebapa mendapat 1/2 (menyamai 6/12) dan baki iaitu 3/12 diberikan kepada saudara perempuan sebapa (menyamai 1/12) dan saudara lelaki sebapa (2/12) atas kapasiti waris ’asabah bi al-ghayr.

[VIDEO] Al-Aqsa Kembali Bergolak

‘ASABAH MA’A AL-GHAYR

Kategori ‘asabah ini melibatkan waris perempuan yang menjadi ‘asabah dengan kewujudan penerima waris perempuan yang lain.

Mereka yang termasuk dalam kategori ini ialah saudara perempuan kandung atau saudara perempuan sebapa sahaja ketika bersamanya keturunan perempuan si mati iaitu seorang atau lebih anak perempuan atau cucu perempuan (anak perempuan kepada anak lelaki).

Asas agihan kepada waris ini ialah hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah berkata: Aku akan putuskan seperti keputusan Rasulullah SAW iaitu anak perempuan mendapat 1/2, anak perempuan kepada anak lelaki mendapat 1/6 dan apa yang berbaki diserahkan kepada saudara perempuan. (Al-Bukhariyy. Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih. Kitab al-Faraid. Bab: mirath al-akhawat ma’a al-banat ‘asabah. No: 6742).

Saudara perempuan kandung atau saudara perempuan sebapa ini akan mendapat lebihan baki setelah harta tersebut dibahagi kepada anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) yang kekal mendapat bahagian yang telah ditetapkan. Jika semua harta telah habis diagihkan, mereka tidak memperolehi apa-apa bahagian daripadanya.

Contoh kes yang melibatkan waris ‘asabah ma’a al-ghayr ialah si mati meninggalkan waris iaitu isteri, ibu, seorang anak perempuan dan seorang saudara perempuan seibu sebapa. Isteri mendapat 1/8 (menyamai 3/24), ibu mendapat 1/6 (menyamai 4/24), anak perempuan mendapat 1/2 (menyamai 12/24) dan saudara perempuan seibu sebapa dapat bakinya iaitu 5/24.

PENEGASAN

Menjadi waris yang mendapat lebihan bukan bermakna habuan yang diperolehinya adalah sedikit. Kadangkala lebihan baki lebih banyak berbanding waris ashab al-furud. Namun kadangkala bersedialah untuk menerima takdir yang tiada lebihan untuk diwarisi atau hanya sekelompok waris yang berhak menerima lebihan tersebut.

Kesemua lebihan baki hanya dapat diketahui dengan mengenal pasti waris ashab al-furud dan peruntukan yang sepatutnya diserahkan kepada mereka.

Dari sudut agihan pula perlu difahami bahawa waris ‘asabah bukan ditujukan kepada ahli keluarga lelaki semata-mata, bahkan melibatkan juga orang perempuan dalam keluarga tersebut mengikut kategori dan syarat yang ditetapkan syarak.

Pelajaran tentang memahami waris ‘asabah dalam faraid ialah menjadi seorang yang bersyukur dan reda sebagai waris ‘asabah harus dipupuk dan diketahui dari awal lagi. Bersyukurlah jika ada baki harta yang tersisa untuk setiap daripada mereka.

Berlapang dadalah jika harta yang ditinggalkan oleh si mati tidak ada lebihan baki. Bukankah beriman dengan ketentuan dan takdir ilahi sebahagian tuntutan keimanan qada’ dan qadar sebagai muslim sejati.

Hayatilah firman Allah SWT: Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu tidak mengetahui sesiapa antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (al-Nisa’: 11)

Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM

Waris ‘asabah dalam faraid


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Pulangkan balik duit Najib, saya bagi 24 jam – Shafee

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker