Nynaa Harizal – Bakal gegar industri seni

Nynaa Harizal - Bakal gegar industri seni

Nynaa Harizal – Bakal gegar industri seni. Sejak kemunculannya menerusi beberapa drama seperti Hero Seorang Cinderella dan Kekasih Paksa Rela, Nynaa Harizal terus mencuri tumpuan peminat.

Tidak dinafikan dengan pakej sempurna yang ada padanya, Nynaa, 25, atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal mempunyai masa depan cerah dalam bidang seni tanah air.

Nynaa berkata, sepantas itu juga Instagram peribadinya menyaksikan pertambahan pengikut.

“Insya-Allah saya berjanji akan memberikan hasil terbaik dan sudah bersedia menggegarkan industri seni dengan lakonan mantap.

“Sebenarnya saya awalnya tak merancang pun nak bergelar pelakon. Saya bermula sebagai model ketika berusia 19 tahun.

“Selepas itu barulah saya berjinak-jinak dengan iklan komersial dan banyak terbabit dengan iklan syarikat komunikasi. Boleh dikatakan saya sudah buat hampir 50 iklan komersial,” katanya.

Ternyata, penampilannya menerusi iklan mencuit hati beberapa produksi yang berminat menawarkannya berlakon.

“Namun prosesnya tidak mudah kerana saya tetap perlu menjalani sesi uji bakat dan selepas lulus barulah diterima berlakon drama Kekasih Paksa Rela dengan Remy Ishak.

“Bermula dari situlah saya terus diterima berlakon dan pernah bekerja di bawah arahan Osman Ali, Ahmad Idham, Michael Ang, Yusry Abdul Halim dan ramai lagi.

“Mereka ada gaya pengarahan berbeza sekali gus saya berpeluang menimba pengalaman baharu dalam lakonan,” katanya.

Nynaa Lahir Ampang, Selangor ini memulakan kerjaya hiburannya sejak 2017.

Nynaa Harizal - Bakal gegar industri seni

Peserta Dewi Remaja 2019 dan berjaya menduduki tempat ketiga.

Dia kemudian terpilih sebagai salah seorang peserta Dewi Remaja 2019 dan berjaya menduduki tempat ketiga.

“Saya berlakon sambil belajar kerana ketika itu sedang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan Universiti Kolej KDU.

“Saya seimbangkan kedua-duanya dan syukur berjaya capai apa yang diminati. Selepas itu, barulah saya sertai Dewi Remaja. Mengenai lakonan pula, saya sudah mencuba pelbagai watak sama ada watak utama mahupun pembantu. Drama yang belum ditayangkan pun masih banyak,” katanya.

Walaupun tidak merancang bergelar pelakon, Nynaa mengakui sering meniru dan menggayakan watak-watak idolanya di depan cermin ketika kanak-kanak.

“Waktu di sekolah menengah, saya kerap sertai pertandingan koir, coral speaking dan menyanyi. Ini antara kelebihan yang saya ada.

“Tak sangka saya akhirnya masuk dalam bidang lakonan. Setakat ini saya sudah berlakon empat filem dan yang terbaharu adalah Sumpahan Syaitan dan Maharaja Bomoh.

“Kedua-duanya menampilkan saya sebagai heroin. Dalam Sumpahan Syaitan, saya berlakon dengan Farid Kamil. Sekiranya tiada halangan, ia akan ditayangkan pada tahun ini juga,” katanya yang kini diuruskan oleh Iman Tang.

Menjangkau lima tahun pembabitan dalam bidang seni, Nynaa mahu terus belajar untuk memantapkan lakonannya.

“Saya masih baharu dan anggap tahun ini permulaan buat saya untuk menyinar. Banyak lagi yang perlu saya belajar.

“Saya juga bersyukur mempunyai teman lelaki yang memahami dan tidak menghalang karier saya. Bohonglah jika dikatakan kami tiada perancangan untuk kahwin tapi saya lebih suka ikut arus.

“Dalam masa sama, saya tidak menafikan ada yang cuba-cuba nak pikat saya ketika berlakon tapi prinsip saya bekerja bukan untuk bercinta. Keluarga pun tak setuju saya buat demikian. Kalau bercinta sekadar untuk menghayati lakonan okeylah,” katanya.

Drama-drama lain lakonan Nynaa ialah Terkoyak Langit Cinta, Kembalikan Sinarnya, Isteri Bukan Untuk Disewa dan Cinta Tanpa Henti.

Dia juga pernah membintangi filem Mak dan Town Mall.

Nynaa Harizal – Bakal gegar industri seni


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Kes tinggi, petugas barisan hadapan letih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker