Malaysia gesa dunia tumpu bantuan kemanusiaan, pembangunan semula Palestin


KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa dunia menumpukan perhatian kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula untuk rakyat Palestin susulan gencatan senjata Israel-Hamas lewat semalam.

BERNAMA melaporkan, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Twitternya hari ini, berkata: “Sekarang kita perlu tumpukan kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula untuk rakyat Palestin.”

Kabinet Keselamatan Israel semalam bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan

menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas. Mesir bertindak sebagai orang tengah untuk perjanjian gencatan senjata itu.

Seramai 232 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu.

“Serangan Israel telah menyebabkan ratusan orang terkorban dan ribuan lagi cedera. Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa,” kata Hishammuddin lagi.

Terdahulu, agensi berita melaporkan, Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari.

Menurut kenyataan pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet keselamatannya ‘dengan sebulat suara’ menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.

Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).

Kenyataan pihak Israel tidak memaklumkan bila gencatan senjata akan bermula.

Pertempuran terkini menyaksikan jet Israel membedil Gaza melalui serangan udara, dibalas dengan ribuan roket dari Gaza menyasarkan, susulan ketegangan yang makin memuncak selepas 10 Mei lalu.

Serangan Israel terhadap Gaza pula sehingga kini sudah mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal, demikian menurut Hamas. BH

Dana Palestin sumbangan rakyat Malaysia – RM17.8 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker