Solskjaer pertahan Pogba, Diallo bawa bendera Palestin
LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahan tindakan Paul Pogba dan Amad Diallo yang memegang bendera Palestin selepas perlawanan berdepan Fulham, semalam dengan mengatakan mereka `berhak memiliki pandangan berbeza’.
Pogba yang juga pemain tengah United, kelihatan diberi bendera itu seorang peminat ketika pemain berjalan mengelilingi padang Old Trafford sebagai tradisi memberi penghormatan selepas terikat 1-1 dengan Fulham dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri musim ini.
Bintang Perancis itu yang juga pemenang Piala Dunia dan pemain sayap, Diallo yang beragama Islam, menunjukkan bendera itu sebagai sokongan kepada Palestin, dengan kira-kira 10,000 peminat menyaksikan perlawanan itu.
“Kami mempunyai pemain dari pelbagai latar belakang, budaya berbeza, negara yang berbeza dan kami perlu menghormati pandangan mereka jika mereka berbeza dengan pandangan orang lain,” kata Solskjaer.
“Kami sudah melihatnya dengan beberapa pemain saya sebelum ini, bahawa mereka ambil berat. Contohnya, anda melihat perbezaan yang dilakukan Marcus Rashford. Jadi, kami menghormati hak mereka untuk memiliki pandangan yang berbeza.”- AFP
You must be logged in to post a comment.