Ketua Polis Gombak ancam saman FMT RM10 juta berhubung laporan pertukarannya ke Bukit Aman


Ketua Polis Gombak, Arifai Tarawe, mengancam akan mengambil tindakan saman terhadap Free Malaysia Today (FMT) berhubung dua artikel yang disiarkan portal ini Isnin lalu berhubung pertukarannya ke Bukit Aman.

Semalam, Arifai mengeluarkan kenyataan mengumumkan bahawa peguamnya telah menulis kepada FMT untuk menuntut portal ini memohon maaf dan menarik balik dua artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah dan mencemar imejnya.

Arifai mendakwa artikel berjudul “Under-fire Gombak Police Chief Transferred to Integrity Unit” and “Ketua Polis Daerah Gombak Ditukarkan ke Unit Integriti Bukit Aman” adalah laporan palsu yang mencemarkan reputasinya serta mempersoalkan integriti beliau.

Dalam notis tuntutan kepada FMT bertarikh 19 Mei, firma guaman Adam Aziz & Co turut menuntut RM10 juta sebagai pampasan “atas keterlanjuran memfitnah” Arifai, dengan amaran anak guam mereka akan memulakan tindakan mahkamah jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

“Gambaran persepsi kepada pembaca artikel tersebut (adalah) seolah-olah saya dan PDRM adalah bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan kematian bekas tahanan tersebut,” kata Arifai dalam kenyataan media, merujuk kepada kes kematian A Ganapathy yang meninggal dunia di hospital pada 18 April.

Ganapathy berada dalam tahanan polis sejak 24 Feb.

FMT mempertahankan kedua-dua laporan yang dirujuk oleh Arifai.

“Kami yakin kedua-dua laporan itu tidak sama sekali membuat kesimpulan pasukan polis secara keseluruhan atau mana-mana pegawai polis dan sesiapa sahaja melakukan sebarang perbuatan salah, “ kata Pengarang Urusan FMT, Dorairaj Nadason.

“Pasukan peguam kami akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mempertahankan integriti kewartawanan FMT,” tegas beliau.

Dalam dua artikel yang dirujuk itu, FMT melaporkan bahawa Arifai adalah antara 12 pegawai kanan yang disenaraikan untuk penugasan baharu, berdasarkan pengumuman Bukit Aman. Arifai akan menggalas jawatan Penolong Pengarah (Siasatan, Perundangan dan Kajian Kes), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, bermula 21 Jun ini.

FMT telah merujuk kematian Ganapathy dan kritikan ahli keluarga serta peguam mendiang berhubung kes itu yang di bawah bidang kuasa polis Gombak, sebagai latarbelakang dalam laporan berkenaan. FMT

Tak gentar desakan letak jawatan, ketua polis Gombak terus jalan amanah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker