Kejayaan besar bersihkan nama saya – Najib


Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa syukur dan lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung penolakan pemohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita dari Pavilion Residences pada tahun 2018.

Malah katanya, keputusan hari ini telah membersihkan nama serta reputasinya sebagai seorang individu dan pemimpin.

Kata Najib, pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya selama ini akhirnya terbukti tidak lebih sekadar fitnah semata-mata apabila mahkamah sendiri mendapati wang sitaan itu bukanlah hasil aktiviti salah dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

“Syukur. Alhamdulliah, mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut wang tunai yang disita di Pavilion Residences pada 2018, asasnya kata mahkamah hari ini tidak ada bukti sama sekali wang tunai itu adalah hasil daripada dana 1MDB.

“Jadinya, tidak ada kesalahan utama mengapa harta itu perlu dilucut hak oleh kerajaan.

“Ini adalah satu kejayaan besar untuk saya bersihkan nama dengan selama ini pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada saya. Cemar reputasi saya sebagai pemimpin dan juga individu kononnya saya perompak, penyangak dan sebagainya.

“Mahkamah telah menolak fitnah itu, semua tuduhan itu tidak lain tidak bukan selain daripada berniat jahat, kata-kata kesat dilempar tetapi akhirnya hari ini terbukti semua itu tidak benar,” katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Kata Muhammad Jamil, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah gagal membuktikan wang tunai RM114 juta itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB malah pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan wang yang telah disita itu sebenarnya hasil aktiviti penyewelengan pecah amanah (CBT).

Jelas beliau, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residences.

“Saya dengan ini menolak permohonan untuk pelucuthakan wang tunai RM114 juta yang telah disita pada 2018,” katanya.

Sebelum ini, pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada wang tunai, perhiasan dan aset lain berjumlah RM680 juta yang dirampas pada tahun 2018 dari unit kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd.

Obyu adalah satu-satunya responden dalam saman pelucutan berkaitan 1MDB manakala UMNO dan bekas Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada tahun 2018. MG

Wartawan ini berjaya masuk dalam Bilik Rahsia Najib. Ini yg dia nampak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker