Tak kelakar ‘Road to 10k’ -netizen
Tanda pagar Road to 10k sohor kini di Twitter sejak jumlah kes positif Covid-19 yang mencecah 6,000 kes dimaklumkan kepada umum hari ini.
Sehingga pukul 5 petang tadi, tanda pagar tersebut telah diciap lebih 5,465 kali oleh pengguna Twitter.
Tanda pagar Road to 10k digunakan sebilangan pengguna Twitter yang kecewa dengan angka jangkitan terbaharu berkenaan.
Pengguna bernama Fatkhairi berkata, penggunaan tanda pagar itu tidak bermakna penggunanya tidak sensitif.
“Adakah Road to 10k tidak sensitif? Saya tak rasa seperti itu. Ia hanyalah realiti yang kau kena hadap. Ia bukan satu doa, ia hanya pemerhatian berdasarkan perangai masing-masing,” ciapnya.
Izzati Lukman pula berkata, angka tersebut akan dicapai tidak lama lagi ekoran pergerakan orang ramai walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Road to 10k adalah benar. Kita akan mencapainya kerana tiada apa yang berubah dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Walaupun bergelar PKP, rakyat masih lagi ke pejabat, waktu makan tengah hari masih keluar mencari makanan. Dalam perjalanan pulang singgah kedai beli barang nak masak atau makan. Pasar raya masih dibuka,” katanya.
Ada juga pengguna yang menggunakan tanda pagar berkenaan bagi mengaitkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dengan pergerakan pulang ke kampung untuk beraya.
Seorang pengguna bernama Amaninanisa berkata: “Road to 10k dalam masa terdekat selepas kluster balik raya.”
Begitupun, ramai juga pengguna yang menggunakan tanda pagar berkenaan bagi menyatakan bantahan pengunaannya dan menyifatkannya sebagai bukan bahan gurauan.
Menurut Kthfluffys, bukan semua rakyat Malaysia menyokong Road to 10k kerana ia langsung tidak lucu.
“Fikirkanlah mengenai petugas barisan hadapan kita, mereka telah bekerja tanpa henti selama hampir dua tahun. Kamu semua tak mahu kehidupan kembali normalkah? Jagalah perasaan orang lain,” katanya. – K! ONLINE
You must be logged in to post a comment.