Malaysia sedia hantar ATM ke Palestin – Ismail Sabri

Malaysia bersedia menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu misi pengaman di Palestin sekiranya ia diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk menghantar anggota ATM ke Palestin adalah berlandaskan keputusan PBB.

“Malaysia tidak boleh menghantar sewenang-wenangnya ATM ke sana (Palestin), jika kita ‘dijemput’ PBB barulah kita akan hantar.

“Ini kerana untuk menghantar anggota ATM ke Palestin ia melibatkan undang-undang antarabangsa bersama PBB,” katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membantu negara menghadapi wabak COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini.

Ismail Sabri berkata ATM sebelum ini banyak terlibat dengan misi-misi pengaman bersama PBB antaranya seperti di Lubnan, Sudan, Filipina dan Sierra Leone.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sama ada Kementerian Pertahanan akan menghantar anggota ATM ke Palestin bagi misi pengaman.

Pada 15 Mei lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya mengenai isu Palestin, menyatakan Malaysia berasa dukacita serta kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan PBB menghentikan serta-merta kekejaman Israel ke atas Palestin iaitu satu jenayah perang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu, yang mana hingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

– Bernama

 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Hospital swasta: Hantar pesakit bukan Covid-19 pada kami bagi kurangkan kesesakan

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker