ATM bakal dirikan ‘ICU medan’ di P Pinang susulan lonjakan kes Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengunjungi ‘ICU medan’ di Hospital Kepala Batas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan “ICU medan” di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang ekoran situasi Covid-19 yang semakin memburuk di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang telah mencecah lebih daripada 100% susulan lonjaka kes.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang telah meningkat lebih 45% untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Trend ini dijangka akan berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain,” kata beliau di Facebook hari ini.

Semalam dilaporkan tiga pusat jagaan orang tua bawah pengurusan sama di Pulau Pinang diarah tutup selepas kes Covid-19 membabitkan pekerja serta penghuni dikesan di salah sebuah daripadanya.

‘ICU medan’ di Hospital Kepala Batas mampu menampung pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, mesin dialisis, serta lain-lain peralatan sokongan hidup. (Gambar Facebook)

Noor Hisham berkata, “ICU medan” ini mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 pada satu masa.

Ini termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan, mesin dialisis, serta lain-lain peralatan sokongan hidup.

Selain daripada itu, ATM juga akan mendirikan makmal dan unit radiologi modular sebagai kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di “ICU medan” berkenaan.

Terdahulu, Noor Hisham membuat kunjungan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri raptai “ICU medan” di situ.

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker