Rusuhan Batu Pahat : Jangan main tuduh saja – Puad



Sebaran :


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan insiden perhimpunan, bakar suar dan pamer kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat.

Kejadian itu tular dalam laman sosial semalam.

Kata Mohd Puad, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan dirinya dengan rusuhan itu yang menyebabkan seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun ditahan.



“Ada individu yang cuba kaitkan saya dengan kejadian perhimpunan, bakar suar dan pamer kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat.

“Mungkin, pertama kerana saya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Kedua, kerana saya konsisten mengatakan Kerajaan PM 8 memang “Kerajaan Gagal”.

“Perlu dijelaskan, Parit Raja berada dalam kawasan Parlimen Seri Gading bukan Parlimen Batu Pahat. Maka jangan tuduh semberono,” tulisnya dalam laman sosial Facebook beliau pagi ini.



Mohd Puad merujuk kepada insiden rusuhan di Johor yang dikatakan ‘membantah’ pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan keadaan kecoh seketika.

Menurut kenyataan polis, pihaknya telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam.

Ekoran daripada itu, beberapa anggota katanya telah pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan oleh orang awam.



Bagaimanapun tidak lama selepas itu ada pula insiden pembakaran suar serta kain rentang ‘kerajaan gagal’ di kawasan Parit Jaya.

Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain yang dinaikkan semasa perhimpunan berkenaan adalah kain rentang sama yang digantung di jejantas Parit Jaya.

Dalam pada itu, tulis Mohd Puad lag,i sepatutnya yang perlu difikirkan oleh pihak berkuasa adalah mengapakah rakyat pada hari raya pertama sanggup melakukan perkara seumpama itu.



“Kenapa di hari raya pertama rakyat sanggup buat perkara tersebut. Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja.

“Bukan itu sahaja, ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk “Kerajaan Gagal”.

“Semoga PM 8 berpijak di bumi nyata. Tahniah orang Pt Raja,” ujarnya. MG



[VIDEO] Himpunan di Batu Pahat – seorang ditahan


Sebaran :


Leave a Reply