Nazir: Kenapa syarikat sarung tangan tak kena cukai tambahan?

Sebaran :


Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) Datuk Seri Nazir Razak hari ini mempersoal mengapa syarikat-syarikat seperti pengeluar sarung tangan yang terbukti meraih keuntungan besar daripada pandemik COVID-19, sebaliknya tidak dikenakan sebarang cukai tambahan atau ‘supertax.’

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, berkata sudah tiba masanya bagi sistem percukaian sedia ada dijadikan lebih progresif agar dapat menyediakan jaringan keselamatan serta dasar pengagihan semula yang lebih berkesan.

“Saya tidak faham bagaimana di Malaysia, syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan yang memperoleh keuntungan besar mencecah berbilion-bilion hasil daripada pandemik ini tidak dikenakan sebarang cukai tambahan bagi membantu menampung kos menangani masalah pandemik itu,” katanya.



Beliau yang juga adik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata demikian dalam ucap tama beliau di Forum Genesis 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Aspek cukai tersebut adalah antara perkongsian beliau mengenai usaha ke arah sistem kewangan lebih mampan dan saksama.

Selain itu, Nazir juga berpendapat bahawa rangka kerja tadbir urus sewajarnya bersifat menggalakkan atau memastikan kepelbagaian lebih besar bukan hanya di peringkat ahli Lembaga Pengarah, malah meliputi usia, etnik serta latar belakang agar syarikat lebih seiringan dengan masyarakat.



“Salah satu perkara terakhir yang saya cadangkan sebagai pengerusi CIMB Group adalah supaya Lembaga Pengarah itu turut disertai mereka yang berusia bawah 30 tahun.

“Malangnya, saya kesuntukan masa (untuk melihat ia menjadi kenyataan),” kata beliau.

Nazir bersara sebagai pengerusi kumpulan perbankan komersial kedua terbesar dari segi aset itu pada Oktober 2018 selepas berkhidmat selama 29 tahun, termasuk menjadi ketua pegawai eksekutif selama 15 tahun dan seterusnya sebagai pengerusi pada 2014. Bernama



Untung Hartalega RM2.9 bilion


Sebaran :

Leave a Reply