Najib senarai 25 sebab Sri Ram mesti digugurkan sebagai pendakwa

Sebaran :


Najib Razak menyenaraikan 25 sebab mengapa seorang hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menolak permohonannya untuk menyingkirkan bekas hakim Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan melibatkan laporan audit 1MDB.

Dalam petisyen rayuannya yang difailkan di Mahkamah Rayuan pada Isnin, bekas perdana menteri itu berkata, Hakim Mohamed Zaini Mazlan hanya mempertimbangkan kes duluan yang dikemukakan pendakwaan ketika mencapai keputusannya.

“Hakim terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila tidak mengendahkan bahawa pelantikan Sri Ram (pada Ogos 2018) adalah konflik serius di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur Jenayah,” kata Najib dalam petisyen itu, yang dilihat FMT.



Selain itu, Najib berkata hakim terbabit gagal menyedari bahawa permohonannya untuk menyingkirkan Sri Ram adalah sesuatu yang baharu, walaupun beliau (Najib) telah memfailkan permohonan serupa dalam kes lain.

Najib berkata, Zaini juga silap apabila menyifatkan permohonannya itu sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah apabila difailkan selepas memperoleh bukti baharu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Sri Ram juga mempunyai prejudis terhadapnya malah pernah melabelnya sebagai “penjenayah”.



Tambahan, katanya, hakim itu enggan mempertimbangkan afidavit seorang lagi bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan isterinya Faridah Begum K A Abdul Kader yang menyokong Sri Ram digugurkan daripada kes itu.

Mahkamah Rayuan akan menetapkan tarikh perbicaraan permohonan itu ketika pengurusan kes pada 1 Jun.

Zaini menolak permohonan Najib itu pada 15 Feb kerana menganggapnya tidak berasas.



Dalam afidavitnya, Apandi berkata Sri Ram telah memaklumkannya bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkannya menangkap Najib kerana kesalahan yang tidak dinyatakan secara khusus pada Januari 2018.

Beliau mendakwa Sri Ram terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1MDB, dan ini pasti mempengaruhinya.

Bagaimanapun, Zaini dalam penghakiman lisannya berkata, Sri Ram tidak menunjukkan sikap berat sebelah ketika melaksanakan tugasnya sebagai pendakwa kanan.



Najib, 67, dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, dibicarakan berhubung pindaan laporan audit 1MDB di depan Zaini.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya. Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib.

Ini bukan kali pertama Najib berusaha menggugurkan Sri Ram daripada pendakwaan kesnya.



Cubaan kali pertamanya untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu pada 2018 ketika perbicaraan melibatkan 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung pemindahan dana 1MDB ke akaunnya.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan pada 2019 memutuskan pelantikan berkenaan sebagai sah. FMT

Najib files application to have Sri Ram disqualified in 1MDB audit tampering case


Sebaran :

Leave a Reply