"Industri Hiburan Negara Sedang Sakit" - Afdlin Shauki — MYKMU.NET

“Industri Hiburan Negara Sedang Sakit” – Afdlin Shauki

Sebaran :

Pandemik COVID-19 menyebabkan industri hiburan negara yang sedia sakit semakin teruk selain keperitan hidup penggiat seni serta individu yang bekerja di belakang tabir.

Dalam masa sama, gelanggang seni juga, tegas pengarah dan pelakon ternama, Datuk Afdlin Shauki masih belum menjadi profesional kerana banyak perkara di dalamnya yang tidak dilindungi kerajaan.

“Oleh kerana money is always king di dalam mana-mana kerajaan sebelum ini, ia menjadi faktor keutamaan di mana duit atau politik lebih penting daripada seni itu sendiri.
“Itu menjadi masalah bila semua itu berkait wang dan berkait dengan politik. Ya penting wang untuk penerbit untuk orang-orang seni tetapi infrastruktur pun penting juga, bukan sahaja kebajikan.

“Jangan, kalau kita pandang kepada kebajikan sahaja, kita tidak membina sesuatu yang kukuh bagi industri seni itu, kita tidak selesaikan masalah-masalah dan permasalahan orang-orang di dalam industri itu sendiri.



“Kenapa sampai sekarang kita kena bantu (artis) veteran-veteran? (Sedangkan) veteran kita sepatutnya sudah senang sebab sudah ada perlindungan.

“Mungkin mereka dahulu, pada satu ketika ada KWSP, SOCSO, kenapa orang-orang seni tidak ada (kebajikan itu),” soalnya dalam program Leaders Speakeasy with Rizal and Rozina bersama Afdlin Shauki pada Khamis.

Menyentuh campur tangan politik dalam industri hiburan juga menyebabkan Afdlin tidak terkejut permohonan gerannya untuk penerbitan filem Angel of Sandakan ditolak hanya kerana beliau menyuarakan sokongan kepada PKR baru-baru ini.



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam reaksinya menyifatkan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menolak permohonan geran oleh Afdlin sebagai bermotifkan politik.

Anwar turut menuntut permohonan itu dikaji semula supaya industri perfileman tempatan kekal terbela.

Dalam pada itu, kata Afdlin, pandemik juga mempunyai sudut positif apabila ia mempercepatkan beberapa perkara yang sepatutnya mengambil masa.



Jelasnya, kebergantungan masyarakat kepada media sosial juga menyebabkan platform berkenaan lebih cepat tersusun berbanding sebelum pandemik.

“Pandemik ini sudut positifnya adalah dia mempercepatkan benda yang sepatutnya ambil lebih banyak masa.

“Contohnya kepentingan media sosial. Mungkin tidak akan jadi sehebat sekarang jika tidak ada pandemik ini. Oleh kerana kebergantungan kita kepada hiburan media sosial ini menyebabkannya menjadi lebih tersusun.



“Kenapa kualitinya lebih bagus, kerana ada organisasi yang menjaga pemain media sosial ini, yang profesional. Kerana mereka sedar daripada media sosial mereka boleh buat duit,” ujar seniman itu lagi.

Dalam perkembangan bersaingan, Afdlin menjelaskan, keputusannya menyertai PKR adalah kerana Presidennya, Anwar Ibrahim.

Dari kaca mata Afdlin, Anwar mempunyai ciri-ciri pemimpin yang menghargai seni.



“Saya masuk PKR sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya nampak dia adalah seorang yang menghargai seni, dia seorang yang meminati seni, dia dengar muzik

“Dia datang masa saya buat konsert, masa pelancaran filem dia ada dan dia membaca buku, dia baca puisi, dia orang yang menghargai seni.

“Orang yang menghargai seni adalah orang yang dapat membantu orang seni, jika tidak ada penghargaan untuk seni, akan rasa tidak penting,” kata Afdlin lagi.


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: