Bapa beri anak dua tahun hisap vape ditahan


Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki dua tahun, yang videonya diberikan rokok elektronik untuk dihisap, tular dan mendapat kecaman warga net baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, lelaki itu ditahan jam 4.30 petang semalam selepas sepasukan pegawai dan anggota polis dan pegawai jabatan kebajikan masyarakat (JKM) pergi ke sebuah kediaman kanak-kanak berkenaan di PPR Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan off Jalan Genting Klang, Setapak.

“Pihak polis dan JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan membawa bersama ibunya untuk pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum mereka ditahan di wad untuk pemeriksaan susulan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian suspek memberi anaknya menghisap vape dikesan berlaku di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, Selangor, pada 2 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001,” katanya.

Video dan gambar lelaki terbabit memberikan kanak-kanak berkenaan vape tular dalam laman sosial sebelum laporan polis dibuat oleh pegawai JKM.

Dalam video yang tersebar di media sosial itu dimuat naik seorang ibu yang menunjukkan anaknya dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik, yang mengundang kemarahan warganet.

Video berdurasi 12 saat itu menunjukkan mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap rokok elektronik itu sebanyak dua kali.

Pada mulanya, wanita terbabit mempertahankan perbuatannya dengan menegaskan dia bebas memuat naik apa sahaja di laman sosial.

Namun selepas dikecam warganet, wanita terbabit meminta orang ramai tidak menyebarkan video itu, memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok, selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya. FMT

Ibu bagi anak hisap vape bikin netizen panas buntut

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker