Pendedahan Hamid tidak salah – Peguam

PETALING JAYA:Tindakan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendedahkan campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan kesalahan kerana perkara berkenaan melalui saluran betul sebelum dibuat secara terbuka.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, langkah bekas ketua polis negara itu membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali terlebih dahulu secara jelas pendedahan tersebut dikemukakan menerusi proses sewajarnya agar tindakan segera dapat diambil.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab Abdul Hamid sebagai orang nombor satu PDRM untuk memperbetulkan keadaan sebelum bertambah lebih teruk.

“Kalau sudah ikut saluran betul dan masih tiada reaksi dan berterusan, beliau (Abdul Hamid) wajar membangkitkan kepincangan tersebut secara terbuka untuk mendapat perhatian kerajaan dengan lebih serius.

“Jadi ia bukan satu kesalahan malah Abdul Hamid melakukan satu tindakan betul demi menjaga keharmonian PDRM sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan ketua-ketua perkhidmatan supaya lebih berhati-hati apabila bercakap soal undang-undang.

Kumpulan tersebut juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tafsiran peruntukan perlembagaan mengikut emosi dan perasaan tidak puas hati.

Haniff merujuk kepada dakwaan Abdul Hamid berkenaan campur tangan politik dalam urusan PDRM yang tidak sepatutnya selain menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin turut dicemari unsur politik.

Dalam pada itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Takiyuddin sebagai menteri bertanggungjawab dalam undang-undang seharusnya menyiasat dakwaan Abdul Hamid dan bukannya menghalang daripada memberikan pendedahan.

Katanya, Malaysia selaku negara demokrasi tidak boleh menyekat pandangan dalam kalangan rakyat apatah lagi ia dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara.

“Lagipun Tan Sri Abdul Hamid telah ikut saluran betul dengan beliau telah jelaskan kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, tetapi usaha itu seolah-olah tidak dilayan. Beliau kemudian menjelaskan dalam sidang media terhadap situasi yang berlaku.

“Sebagai Ketua Polis Negara, dia mempunyai tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan. Jadi apa dilakukan Abdul Hamid adalah demi menyelamatkan keadaan,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker