Covid-19: Jumlah pesakit muda dan kritikal meningkat – Dr Adham



Sebaran :

Kementerian Kesihatan (KKM) kini mendapati jumlah pesakit tahap kritikal Covid-19 semakin meningkat, terutama di kalangan usia yang sebelum ini lebih berdaya tahan terhadap wabak itu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, yang turut berkata pesakit ini juga kurang responsif terhadap rawatan berbanding ketika tempoh awal penularan Covid-19.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, dia berkata hanya 6.7 peratus pesakit tergolong dalam Kategori 4 dan 5 pada Januari 2021.



Pesakit Kategori 4 adalah mereka yang memerlukan bantuan pernafasan akibat tahap oksigen dalam darah yang rendah. Pesakit Kategori 5 pula adalah mereka yang tenat serta mengalami kegagalan organ.

Menurut Adham, jumlah pesakit kategori itu meningkat kepada 26.2 peratus pada Februari, menurun kepada 17.2 peratus pada Mac dan meningkat semula kepada 35.2 peratus pada April.

“Pemerhatian klinikal juga mendapati ada perubahan dari segi profil pesakit, di mana pesakit berusia kurang 60 tahun yang dulu kurang menunjukkan gejala serius, kini menunjukkan gejala lebih serius dan kurang respons terhadap rawatan berbanding di awal pandemik dulu,” katanya.



Dr. Maza tegur menteri, artis dan pendakwah selebriti

Katanya ada beberapa kemungkinan yang membawa kepada perkara itu, seperti pesakit lambat mendapat rawatan dan varian virus baru yang sedang melanda.

Katanya, varian ini dipercayai lebih agresif dan menyebabkan penyakit dan komplikasi yang lebih serius berbanding sebelum ini.

“Bagaimanapun kita sedang mengkaji perkara ini,” katanya lagi.



Adham berkata KKM dan agensi-agensi lain sedang berusaha agar negara mencapai imuniti kelompok lebih awal untuk menangani perkara ini.

Dia juga menggesa mereka yang mengalami gejala serta menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 untuk mendapatkan rawatan segera.

“Ini agar kita dapat diagnosis dan memberi rawatan awal serta mengeluarkan perintah kuarantin atau kuarantin kendiri bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.



“Bagaimanapun, kejayaan untuk menangani gelombang ini hanya tercapai jika kita patuh prosedur operasi standard dan mengamalkan norma baru yang telah kita cadangkan,” katanya lagi.

Imam, bilal, pengerusi masjid meninggal: Jaij tunggu laporan penuh KKM


Sebaran :


Leave a Reply