Dr. Maza tegur menteri, artis dan pendakwah selebriti

Ketika rakyat kian mempertikaikan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin secara bersahaja membidas pihak yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ia dibuat selepas munculnya gambar-gambar majlis mentahnik anak kedua penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin yang diadakan baru-baru ini dan turut dihadiri golongan agamawan serta menteri.

Melalui gambar yang tular di media sosial dapat dilihat majlis tersebut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad, dan tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Ia sekali gus dipertikaikan orang ramai yang kini dihalang dengan sekatan merentas negeri, sedangkan individu berkenaan dilihat seolah-olah tidak terikat dengan peraturan tersebut.

Tanpa menyebut isu tertentu Mohd Asri menegaskan betapa keperluan untuk menziarahi ibu bapa dirasakan melebihi keperluan bagi memenuhi undangan artis.

“Saya rasa jika hendak dibandingkan pasti keperluan menziarahi ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” katanya melalui satu ciapan di Twitter, hari ini.

 

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kekecewaan orang ramai yang dikekang daripada melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan menziarahi ibu bapa yang sakit atau meninggal dunia.

Sebaliknya terdapat pihak tertentu yang dilihat bebas untuk bergerak selain memenuhi jemputan majlis keraian.

Siti Nurhaliza pula dalam kenyataannya memberitahu, penceramah terbabit – yang tidak dinamakan – hadir ke majlis mentahnik anaknya kerana berada di Kuala Lumpur secara kebetulan.

Kehadiran Zulkifli pula, jelas penyanyi Siapa Tak Mahu itu, hanya “singgah” seketika di kediamannya untuk membaca doa sebelum bergegas pulang kerana ada urusan lain.

Menjelang sambutan 1 Syawal dan belum nampak ada sebarang tanda sekatan perjalanan rentas negeri akan dilonggarkan, suara-suara tidak puas hati kian kedengaran dalam kalangan orang ramai.

Antara keresahan orang ramai ialah kegagalan mereka untuk menemui ibu bapa yang sesetengahnya sudah lama tidak diziarahi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker