Mustahil dapat tukar Kerajaan PN tanpa melalui PRU15 – Anwar Ibrahim

Terpilih sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui laluan untuk gabungan itu kembali mendapat mandat rakyat tidak semudah disangka.

Setelah kerajaan PH runtuh hampir setahun lalu, pelbagai usaha dilakukan Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk membentuk kembali kerajaan termasuk dikatakan cuba meraih sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO, namun seringkali digagalkan.

Pengerusi PH itu juga sedar usaha mengambil alih kerajaan daripada tangan Perikatan Nasional (PN) tanpa melalui PRU15 adalah mustahil. Katanya, ia ibarat mimpi di siang sekiranya sidang Parlimen masih tidak dapat berfungsi susulan pengisytiharan darurat Januari lalu.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik situasi politik semasa. Anwar turut berkongsi peluang beliau untuk menjadi Perdana Menteri, kritikan terhadap kerajaan PN dan agenda transformasi PH jika menang PRU15.

SINAR AHAD: Datuk Seri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri PH bagi menghadapi PRU15. Apakah cabaran penting untuk PH menang pilihan raya itu?

ANWAR: Bagi saya, keputusan menamakan saya hanya untuk mengetepikan bisikan-bisikan yang kononnya bakal menimbulkan perpecahan dalaman PH dan PKR. Jadi langkah ini dapat memadamkan desas-desus itu.

Tetapi cabaran kita adalah memastikan kelompok yang menginginkan perubahan itu benar-benar fahami dan komited dengan perubahan.

Sementara ada kesan positif daripada pemerintahan PH dahulu, ada masalah berbangkit terutama masalah keperluan rakyat dan orang Melayu.Walaupun saya tidak terlibat dengan pemerintahan kerajaan PH itu, tetapi sebagai anggota PH saya juga dipersoal. Ini yang harus kita leraikan. Tidak mudah.

Kemudian, fokus saya terhadap ekonomi yang ketika ini pada hemat saya, sangat parah. Ia memerlukan satu fokus besar yang tidak dilakukan kerajaan PN sekarang.

– Pada pandangan Datuk Seri, mengapakah semakin banyak pelabur asing meninggalkan Malaysia untuk melabur di negara lain? Apakah kesilapan kerajaan PN?

Masalah kerajaan PN lebih rumit disebabkan orang terus mempertikaikan keabsahan dan legitimasi sokongan terhadapnya. Ia merupakan kerajaan minoriti yang tidak berani berhadapan dan menguruskan sidang Parlimen seperti biasa menggunakan alasan darurat.

Tetapi kelemahan besar kerajaan PN ialah tiada fokus. Apa hala tuju kerajaan dalam hadapi keadaan krisis? Selalunya keadaan krisis itu, pelaksanaannya haruslah dalam bentuk strategi menghadapi krisis. Tetapi nampak dilaksanakan secara sambil lewa. Kenyataan-kenyataan dikeluarkan kerajaan masih kenyataan politik.

Apabila menghadapi masalah ekonomi, ada beberapa permasalahan yang harus diwacanakan secara spesifik. Angka tidak boleh ditipu dan dikelirukan. Jika ada masalah, harus nyatakan ada masalah. Ini tidak ada.

‘Kita tidak ada masalah, pelaburan kita masih baik’… ini kenyataan memperbodohkan rakyat dan memberi kesan yang lebih negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Pada hemat saya, pertama yang harus dilakukan adalah menerima kenyataan yang ada. Kemudian lihat beberapa sektor yang boleh kita tangani walaupun ada kekangan terkait dengan Covid-19. Tetapi perkara ini belum berlaku. Yang ada hanyalah kenyataan umpamanya pelaburan masih baik, keyakinan pelabur masih ada.

Anwar mohon maaf kerana kegagalan Mahathir untuk tunai manifesto PRU14

Anwar
– Kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN bagi mengekang Covid-19 atas alasan kewangan kerajaan semakin berkurang. Apakah kebimbangan Datuk Seri berhubung perkara ini jika tidak dipantau melalui sidang Parlimen?

Saya lihat ini sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab. Sebut tiada wang, tetapi yang jadi kritikan awam adalah jumlah menteri yang tidak bertugas, duta-duta luar yang tidak pernah berjalan keluar, pelantikan timbalan menteri baharu.

Ini menunjukkan kerajaan PN hanya hendak berpaut pada dahan rapuh, hanya mahu menyelamatkan diri dan tidak perhitungkan permasalahan ekonomi. Kerajaan kata tidak ada wang supaya rakyat jangan menuntut lebih.

Tetapi sebab apa tidak ada wang, ke mana wang dibelanjakan sebanyak RM600 bilion dan sekarang digunakan pula keputusan menggunakan dana KWAN. Ini bukan satu perkara kecil.

Saya bukan mahu satu keputusan mutlak bahawa dana KWAN tidak boleh digunakan. Tetapi kalau pun hendak digunakan, harus diperinci tujuan penggunaannya kerana ini wang amanah negara.

– Bercakap tentang dana KWAN, adakah Perdana Menteri ada pilihan untuk tidak menggunakannya?

Pertama, beliau kena jelaskan mengapa dana kerajaan tidak cukup. Jadi, dalam perbahasan, ahli-ahli Parlimen akan tanya mengapa tidak dipotong peruntukan menteri-menteri, Perdana Menteri dan sebagainya. Mengapa tidak dijimatkan belanja?

Kalau kita lakukan semuanya, kemudiannya didapati dana masih berkurangan, bolehlah kita fikirkan alternatif lain. Aspek pertama itu pun belum dapat diyakinkan. Ini kerana kita lihat amalan kebobrokan dan keborosan elit politik berterusan.

Kita lihat pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan amalan berbuka puasa serba mewah dan sebagainya. Golongan pekerja dibuang, kos naik tetapi kerajaan berbelanja seperti biasa.

Jadi, kalau isu ini dapat diselesaikan dan peruntukan menteri-menteri dipotong, berapa bilion kerajaan boleh potong? Kalau ikut laporan Ketua Audit Negara setiap tahun dijangka sejumlah RM15 hingga RM17 bilion dana kerajaan yang tiris. Ia harus diselamatkan.

Katalah daripada RM15 bilion dana kerajaan tiris, kita dapat selamatkan separuh atau RM7 bilion, kita dapat jimatkan lebihan RM8 bilion lagi untuk membantu rakyat. Kalau ini dapat diselesaikan, maka kita boleh diyakinkan untuk guna dana KWAN.

– Sekiranya sidang Parlimen akhirnya dibuka semula, adakah isu penentuan legitimasi sokongan ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri wajar didahulukan sedangkan Covid-19 belum ditangani sepenuhnya?

Ada orang tanya, apakah perlu kita membicarakan soal perubahan kerajaan atau pilihan raya? Pilihan raya ini adalah sebaik cara apabila kerajaan hilang legitimasi. Tetapi ia menjadi kontroversi sebab Covid-19. Pilihan raya mungkin mengundang malapetaka baharu.

Kita lihat kesan di India dan juga Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu. Oleh itu, pilihannya (menukar kerajaan) adalah pilihan ahli-ahli Parlimen. Mengapa harus diubah sekarang? Kerana kerajaan tidak berfungsi secara berkesan. Kerajaan gagal memberikan khidmat baik kepada negara dan mengemukakan penyelesaian berkesan serta menentukan hala tuju ekonomi melalui dasar ekonomi jelas untuk negara.

Oleh demikian, kalau ada keupayaan, ahli-ahli Parlimen harus menunaikan tanggungjawab mereka menentukan orang atau parti yang boleh membawa perubahan.

Kerusi No. 2 PDRM milik siapa?

Wawancara Sinar Ahad bersama Anwar baru-baru ini.
– Hendak menukar kerajaan melalui sidang Parlimen dilihat tidak mungkin berlaku, begitu juga pilihan raya susulan kes Covid-19. Apakah alternatif yang ada?

Pertamanya, jalur Parlimen sudah dihalang. Tetapi ia tidak menghalang ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan dan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kalau ikut jalur itu, memang ada ‘kes terdahulu’ baik di Perak mahupun kerajaan PN.

– Selain menubuhkan kerajaan baharu, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sebuah kerajaan interim sehingga PRU15 diadakan. Bagaimana Datuk Seri melihat kemungkinan itu?

Kalau ikut takrifan Perlembagaan Persekutuan, solusi itu tidak semudah itu untuk menubuhkan kerajaan interim bagi menggantikan kerajaan sedia ada sekarang. Sebenarnya dalam Perlembagaan Persekutuan, masih dibolehkan kerajaan minoriti. Tetapi kerajaan minoriti itu tidak boleh salah guna kuasa.

Kerajaan minoriti itu harus serah kepada sidang Parlimen. Kalau Parlimen buat keputusan, maka kerajaan minoriti kena akur. Jadi, kerajaan interim berasaskan kerajaan minoriti itu masih tertakluk kepada keputusan Parlimen. Itu sebabnya segala helah, cara digunakan bagi menghalang perjalanan Parlimen.

– Jadi dalam erti kata lain, untuk mengharapkan proses pertukaran kerajaan dilaksanakan melalui jalur Parlimen adalah seumpama ‘mimpi di siang hari’ setakat kini?

Benar. Setakat ini kita hanya boleh menuntut supaya diadakan sidang Parlimen. Tetapi orang yang berkuasa sekarang tahu sidang Parlimen itu akan mengundang malapetaka bagi mereka. Kerana beliau bukan bersikap demokratik. Ada sokongan, jadi Perdana Menteri, tiada sokongan, dia undur secara terhormat. Saya lihat beliau (Tan Sri Muyiddin Yassin) tidak ada istilah dignity dan honour. Ini menyebabkan kemelut kepimpinan negara terus berlaku.

– Bagaimana pula pandangan Datuk Seri berhubung akta antilompat parti dalam kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri?

Isu lompat atau pengkhianatan parti itu harus ditangani. Perkara itu memang dibahaskan kerana ada aspek Perlembagaan dan perundangan. Ia juga menjadi polemik yang sangat hangat.

Benar ia adalah pengkhianatan demi kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat. Dia boleh meninggalkan semua prinsip. Umpamanya bila SPRM datang bertindak, maka dia lompat dan semua rakyat tahu.

Perkara itu sangat malang bagi negara. Saya kemukakan sendiri perkara ini kepada SPRM sewaktu dipanggil bertemu mereka. Apa mereka jawab? “Ya perkara ini kita akan uruskan, kita akan selesaikan”.

Tetapi persepsi rakyat, ini masalah kita bila berada di tampuk kuasa. Sama ada dalam jentera kerajaan atau politik elit penguasa selalunya meremehkan dan menganggap rakyat tidak faham.

‘Perang’ Ketua Polis Negara vs Menteri KDN perlu penyelesaian segera!

– Menyentuh soal pegawai lantikan politik, adakah PH akan meneruskan amalan itu andai menang PRU15? Cuba kita lihat apa masalahnya sekarang?

Masalahnya adalah kecurangan, penyelewengan dilakukan orang yang diberikan amanah. Orang politik pun ada, profesional pun ada dan bank pun ada. Jadi, jangan dianggap pegawai lantikan politik sahaja yang bermasalah.

Umpamanya dalam kes 1MDB, Bank Negara Malaysia terlibat walaupun tidak dibuat siasatan (merujuk dakwaan terhadap bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz). Ada beberapa bank yang juga dikaitkan dalam kes penyalahgunaan kuasa seperti didakwa sekarang. Begitu juga pengurusan bank dan beberapa GLC yang tidak melibatkan orang politik.Tetapi saya setuju jangan jadikan GLC tempat memberi habuan kepada orang politik. Jawapan saya, terus terang mengatakan, sekiranya orang politik itu ada kompetensi, kewibawaan, cemerlang dalam bidang kerjayanya, saya tidak menganggap lantikan itu satu kesalahan.

– Adakah keutamaan PH sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah selepas ini adalah dengan memperkasa fungsi SPRM?

Kalau tanya saya, negara ini mesti diselamatkan. Antara puncanya adalah amalan rasuah di mana ada pemimpin yang mengaut kekayangan berlebih-lebihan tanpa persoalan dan tindakan. Oleh kerana pemimpin lakukan begitu, busuknya di kepala ikan, yang lain terus menjalar sampai ke bawah. Jadi, saya setuju kita harus mengambil langkah perkukuh institusi ini, bebaskan mereka dan berikan satu pendirian yang cukup jelas bahawa tindakan yang keras dan maksimum akan diambil.

– Datuk Seri ada menyentuh mengenai UMNO-PKR, mungkin Datuk Seri boleh jelaskan, adakah akan ada jajaran baharu?

Jajaran baharu tu ayat Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)(ketawa).

Begini, bila dibangkitkan soal telefon (rakaman audio), saya tak layan sebab apa (yang jadi) masalahnya? Ia jadi masalah kalau ada unsur jenayah atau rasuah. (Sedangkan) dalam audio Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jelas tiada persoalan dan tiada tindakan. Sekarang yang tersebar audio Datuk Seri Hamzah Zainudin pula.

Apabila ada kaitan dengan tekanan, atau pembelian dan khianat itu baru jadi masalah. Tapi ini dijadikan isu politik, saya tidak layan. Kalau tanya saya jumpa (Zahid)? Saya jumpa semua. Kalau lihat peribadi saya di Parlimen, saya tegur semua, saya baik dengan semua. Dalam politik ini saya mahu bawa satu civil relation. Fikir nak ungkit, nak bergaduh, sampai kiamat tak habis.

– Jadi kita bergerak ke depan. Setakat nak berhubung, adakah jadi masalah? Tak ada. Siapa yang saya tak jumpa?

Saya jumpa semua pemimpin. Bagaimana persediaan PH dalam menghadapi PRU akan datang?Kita ada jentera pilihan raya yang sudah digerakkan sejak beberapa bulan lalu. Kita hanya tangguh pada bulan Ramadan bagi memberi ruang ahli-ahli menumpukan soal ibadah dan kebajikan. Tetapi jentera sudah bergerak. Latihan PaCaBa, kakitangan pilihan raya dan tokoh-tokoh yang boleh ditonjolkan sebagai calon sudah siap sedia.

Kita juga belajar daripada pengalaman lama. Perkenal tokoh-tokoh muda kerana parti ini dari awal memang banyak menonjolkan tokoh-tokoh muda.

‘Tangan ghaib’ kawal polis – Tan Sri Musa Hassan

Anwar dakwa pelaksanaan suntikan vaksin tak telus

SAYA tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan sebab tiada ketelusan. Sampai sekarang kita tanya, berapa kos vaksin? Tiada jawapan diberikan melainkan alasan ia sudah dijelaskan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tetapi tidak boleh dibahaskan kos.

Mengapa hendak merahsiakan kos? Dari mana? Bila sampai? Sekejap kata akhir Mei akan sampai, sekejap lagi cakap lain. Tidak bolehkah beritahu, kerajaan masih belum dapat jawapan daripada Sinovac tetapi jawapan daripada Pfizer ialah begini dan kosnya adalah sedemikian.

Kita tahu pelaksanaannya adalah paling lembab di Malaysia berbanding negara lain. Di Korea, bolehkah mereka mengambil contoh satu dua negara yang lebih lembab macam negara kita atas alasan munasabah?

Tetapi Korea bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjelaskan secara transparen. Dahulu masa saya dapat vaksin Pfizer sebagai ahli Parlimen, kita kena ikut urutan dos kedua. Saya kata tidak mengapa, tidak perlu beri dos kedua dahulu, utamakan pemberian dos pertama kepada orang lain dahulu.

Ini kerana suntikan dos kedua vaksin tidak mempunyai tempoh masa ditetapkan. Saya cadangkan mengapa tidak boleh kita sampaikan dahulu suntikan vaksin dos pertama kepada semua, kemudian barulah kita uruskan suntikan vaksin dos kedua?

Kalau tidak, petani di Manik Urai, Kelantan bila hendak dapat kemudahan ini? Sebab itu saya cadangkan, namun tidak mendapat layanan. Tetapi bila saya diminta hadir untuk suntikan dos kedua, saya terpaksa pergi. Kalau tidak, hak saya dibatalkan dan itulah risiko yang dihadapi.Kemudian, saya sebutkan tentang Selangor yang memperuntukkan RM200 juta untuk membeli vaksin Covid-19. Menteri jawab, terpulang kepada negeri.

Sepatutnya kena beritahu, vaksin itu perlu diluluskan oleh kementerian atau tidak. Menteri berkenaan kata ‘kita sudah berdialog dengan negeri-negeri’. Namun menteri-menteri besar tidak diberi penerangan jelas sama ada inisiatif kerajaan negeri membeli vaksin dibenarkan atau tidak. Keduanya, saya juga tahu beberapa yayasan yang meminta kelulusan kerajaan bagi pembelian 200,000 bekalan vaksin Covid-19 untuk mereka beli sendiri dan agihkan kepada kakitangan dan urusan kebajikan. Namun tiada jawapan diberikan kerajaan sehingga sekarang.

Jadi, saya tidak faham mengapa tidak boleh? Kalau tanya saya, kos membeli vaksin tinggi sehingga mencecah RM5 bilion. Mengapa tidak boleh suruh syarikat-syarikat besar ‘order’ sendiri, bayar kos dan uruskan dengan pekerja mereka? Kita boleh kurang sekurang-kurangnya RM2 bilion wang kerajaan.

Menteri tidak fikir, beliau hendak kawal semua. “Mesti import melalui kami dan kementerian sahaja yang layak kendalikan.” Tidak boleh begitu.

Laksana segera PKP 3.0 – Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar

Related Articles

One Comment

  1. seekor lagi munafik bercakap tentang khianat
    bila ahli parlimen/adun UMNO/BN lompat masuk ph(ppbm)
    tak kecoh pun raja liwat kata pengkhianat
    mesti raja liwat kata itu demokrasi namanya
    cuma bila orang dari parti sendiri lompat baru dia kata pengkhianat
    kata pengkhinat sebab kempunan lagi tak dapat jadi PM
    bukan sebab demokrasi lagi

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker