Inilah petunjuk mimpi yang benar
Adakah mimpi yang berturut-turut setiap kali tidur boleh dianggap sebagai petunjuk yang ia adalah mimpi yang benar?
Menurut Dr. Faudzinaim Badaruddin, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, amat sukar untuk mensahihkan mimpi itu benar atau tidak. Barangkali mimpi itu benar, dan barangkali tidak.
Jika mimpi itu baik, ia adalah perkhabaran gembira daripada Allah. Maka ucapkanlah syukur kepada Allah kerana memperoleh mimpi sedemikian.
Tetapi sekiranya mimpi itu buruk, ambillah ia sebagai pengajaran lalu berdoalah kepada Allah mohon dihindari perkara yang buruk. Ia mungkin jalan awal dari sudut perkhabaran sahaja.
Bagaimana untuk mengetahui mimpi itu benar? Jawapannya, waktu malam dan siang merupakan dua waktu yang paling benar mimpinya.
Pada waktu malam yang mendekati semasa waktu sahur merupakan saat berlakunya mimpi yang benar. Hal ini kerana, waktu tersebut adalah masa bertebaran rahmat dan keampunan daripada Allah. Ketika itu jugalah pintu rahmat dibuka seluas-luasnya oleh Allah S.W.T. Dan waktu itu juga syaitan didiamkan.
Waktu siang pula ialah pada waktu ‘qailulah’ iaitu waktu yang disunatkan tidur sebelum tergelincir matahari. Waktu ini juga dikatakan masa yang paling benar mimpinya.
Namun, sekali lagi diingatkan, perkara mimpi tidak boleh diceritakan kepada umum. Ia bersifat peribadi. Walaupun mendapat mimpi yang baik atau buruk, seharusnya perkara itu didiamkan.
Atau paling tidaknya, berceritalah kepada orang yang benar-benar amanah dan orang yang berkebolehan untuk mentafsir mimpi.
Mengapa perlu didiamkan mimpi tersebut? Menurutnya lagi, mimpi sebenarnya rahsia di antara kita dengan Allah. Disebabkan itu, mimpi tidak boleh diceritakan kepada orang lain.
Selain itu, perkara mimpi ini perlu dirahsiakan adalah bersebab dan juga untuk tidak menimbulkan syak dan juga buah mulut orang lain. Perkara itu akan membawa kesan buruk kepada orang yang bermimpi itu sendiri.
Sebagai contoh, apabila seseorang itu bercerita mengenai mimpi buruk yang dialaminya seperti menerima azab serta seksaan pedih, apabila mimpi itu diceritakan kepada umum, sudah tentu akan membawa tohmahan buruk kepada dirinya.
Pasti ada cakap-cakap serta andaian orang sekeliling mengenai mimpi itu. Orang ramai mungkin akan mengatakan, orang yang bermimpi itu, seorang yang melakukan dosa besar dan juga buruk tingkah lakunya.
Jangan ceritakan mimpi yang dialami kepada yang bukan ahli
Disebabkan itulah dia menerima mimpi sedemikian. Hal itu secara tidak langsung membawa persepsi buruk kepada dirinya.
Dan atas dasar itulah, Islam melarang perkara mimpi diceritakan kepada orang yang bukan ahlinya. Sebaliknya perkara itu hanya boleh diceritakan kepada mereka yang rapat, serta orang yang amanah.
Mereka yang boleh menjaga rahsia orang yang bermimpi sebagaimana cerita Nabi Yusuf tentang mimpinya kepada ayahnya. Gambaran penceritaan tersebut dinyatakan di dalam surah Yusuf ayat 4 hingga 6 yang bermaksud,
“Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.
Bapanya berkata, “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu.
Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu tafsir mimpi serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’akub sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”