Jenis-jenis rumah kampung tradisional yang terdapat di Malaysia

Pernah lihat rumah tradisional di Malaysia? Ingin ketahui lebih lanjut tentang seni binanya, kali ini kami berkongsi tentang keunikan binaan rumah yang terdapat di setiap negeri.

rumah-kampung-malaysia-tradisional

© Anna ART | 123rf

Sebut tentang rumah kampung, pasti ramai yang rindukan kampung halaman masing-masingkan? Seronoknya, udara segar, dekat dengan keluarga tercinta, saudara mara, rakan-rakan kampung dan macam-macam lagi. Tetapi, bagi sesetengah orang terutamanya generasi baru yang lebih terbiasa dengan kehidupandi bandar, mungkin rumah kampung, terutamanya dengan rekaan tradisional ini jarang dilihat. Tak mengapa, untuk entri kali ini, jom kita ketahui jenis-jenis rumah kampung dan elemen-elemen uniknya yang terdapat di Malaysia. Teruskan membaca di iProperty.com.my.

Apakah yang dimaksudkan dengan rumah tradisional?

Rumah tradisional bermaksud rumah-rumah zaman yang dibina pada zaman dahulu dengan teknik pertukangan yang tidak lagi digunakan sekarang. Kebanyakan rumah tradisional mempunyai elemen yang mewakili puak, kaum dan adat masing. Di serata Malaysia, kita dapat lihat rumah-rumah tradisional yang masih teguh berdiri. Antaranya di Negeri Sembilan yang mashyur dengan reka bentuk Minangkabau, Sarawak dengan keunikan rumah panjang dan macam-macam lagi.

Pada zaman moden kini, adakah rumah tradisional masih lagi relevan jika hendak dibandingkan dengan rumah moden? Jawapannya, masih relevan. Sebenarnya, rumah tradisional melambangkan elemen dan identiti sesebuah kaum. Jika anda tidak percaya, cuba tanya tukang-tukang pembuat rumah,berapa kos untuk membina sebuah rumah kayu. Bukan itu sahaja, kos bahan mentah juga lebih murah. Namun, sukar dicari terutamanya jika anda menitik beratkan setiap seni rekaan halus pada komponen rumah tradisional.

Apakah perbezaan rumah tradisional di Malaysia?

Mungkin antara elemen utama adalah daripada bumbung yang mempunyai keunikan tersendiri. Sebagai contoh, kebanyakan rumah tradisional Negeri Sembilan mempunyai bumbung yang berbentuk seperti tanduk kerbau. Manakala, rumah tradisional Pulau Pinang pula mempunyai bumbung dengan ketinggian aras yang berbeza, Sarawak pula mempunyai rumah dengan bumbung yang melintang panjang. Jadi, jika anda ingin ketahui dengan lebih lanjut, jom teruskan membaca!

Jenis-jenis rumah kampung tradisional di Malaysia

1. Rumah minangkabau

Rumah-Minangkabau

© Harry | 123rf

Paling popular, dan paling kerap dilihat, dan paling mudah dikenali. Nama Minangkabau ini adalah satu nama yang tidak asing lagi di kalangan kita, dan berasal daripada Indonesia. Seni bentuk rumah kampung yang cantik ini sangat mudah dikenali daripada bentuk bumbungnya yang seakan-akan tanduk kerbau yang sangat unik. Di Malaysia, anda boleh lihat kebanyakan rumah-rumah masih terdapat di Negeri Sembilan. Ada yang masih mengekalkan keunikan tradisionalnya, dan ada juga yang telah digabungkan dengan reka bentuk moden. Apa maksud bumbungnya yang berbentuk seakan tanduk kerbau ini? Menurut cerita yang ada, ia melambangkan kemenangan suku Minang dalam pertandingan laga kerbau di yang diadakan ketika zaman dahulu di Pulau Jawa.

2. Rumah tradisional Melaka

Rumah-tradisional-Melaka

© RAVINDRAN SMITH | 123rf

Siapa yang tidak kenal dengan seni reka bentuk rumah kampung di Melaka. Jika rekaan rumah tradisional Negeri Sembilan terkenal dengan bentuknya, di Melaka pula, rumah tradisionalnya sangat terkenal dengan tangganya. Bukan setakat unik daripada segi rekaan, malah warna yang bermacam-macam juga menjadi tumpuan sesiapa yang melihatnya. Menggabungkan pelbagai elemen dari kaum-kaum yang berbeza, paling ketara adalah

bentuk bumbungnya yang terdapat unsur seni bina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau. Tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh seni bina Cina. Kebanyakan rumah tradisional Melayu mempunyai bumbung rumah yang panjang. Jika anda ke Melaka, rumah-rumah seperti ini masih banyak terdapat di sana.

Nota: Untuk pengetahuan anda, kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina tanpa menggunakan sebatang paku. Seni ini dikenali sebagai tanggam, sejenis teknik seni bina yang menggunakan teknik pasak kayu untuk memegang struktur rumah.

3. Rumah tradisional Baba Nyonya Melaka

Rumah-tradisional-Baba-Nyonya-Melaka

© davidgn | 123rf

Di Melaka, bukan kaum Melayu sahaja yang terkenal dengan keunikan seni bentuk rumah mereka. Namun, kaum lain seperti Baba Nyonya (Cina) juga mempunyai keunikan tersendiri. Baba Nyonya ataupun lebih dikenali sebagai Cina Peranakan adalah yang telah wujud sejak 150 tahun dahulu. Jika dilihat pada reka bentuk rumah Baba Nyonya, anda akan dapat melihat sedikit persamaanya dengan reka bentuk rumah Melayu tradisional, terutamanya di bahagian bendul dan alang rumah. Penggunaan marmar bercorak bunga dan berwarna-warni juga antara yang menjadi simbol penting sesebuah rumah Baba Nyonya. Kebanyakan rumah Baba Nyonya mempunyai satu lagi struktur binaan yang sama, iaitu kecil di bahagian hadapan dan memanjang sehingga ke belakang. Menurut cerita, ia bagi mengelakkan bayaran cukai tinggi dikenakan pemerintah British yang menggunakan kayu ukur lebar bangunan pada zaman dahulu kala.

4. Rumah Bujang & Rumah Tiang Dua Belas di Kelantan

Beralih pula ke Pantai Timur, Negeri Kelantan juga turut mempunyai reka bentuk rumah mereka tersendiri.Ia digelar Rumah Bujang, dan Rumah Tiang Dua Belas. Pada masa dahulu, Rumah Bujang adalah rumah yang diduduki oleh orang-orang biasa yang mempunyai 6 kolum. Di bahagian dalamnya pula terdiri daripada Ruang Ibu (dikenali sebagai ruang utama), dan Rumah Dapur (tempat memasak). Kebiasaanya, dua ruang ini dipisahkan dengan kain tirai sahaja. Bagi Rumah Tiang Dua Belas, kebanyakannya dimiliki oleh orang-orang ternama dan kaya di Kelantan. Tiang Dua Belas ini merujuk kepada 12 batang tiang yang terdapat di dalam struktur binaannya. Nama-nama ruang ini dipanggil Rumah Ibu, Rumah Tengah, dan Rumah Dapur. Namun, akibat daripada pemodenan, rumah-rumah jenis ini semakin sukar dilihat di Kelantan.

5. Keunikan Rumah Panjang Sarawak

Rumah-Panjang-Sarawak

© walter6730 | 123rf

Jika anda rasa rumah di Melaka dan Negeri Sembilan sudah cukup panjang, rumah seterusnya yang ingin kami kongsikan jauh lebih panjang. Namun, ia memanjang ke tepi, dan digelar Rumah Panjang. Mungkin anda pernah melihat rumah panjang lain yang ada dibina di bandar raya, namun di Sarawak, ia sangat berbeza. Kebanyakan Rumah Panjang di Sarawak didiami suku kaum Iban, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh. Ia bukan sekadar besar, rumah ini juga mempunyai bilik untuk keluarga yang berjumlah antara 20 hingga 80 bilik dengan menempatkan antara 200 hingga 800 orang! Setiap seni bina rumah panjang adalah unik daripada kaum-kaum berbeza yang terdapat di Sarawak, malah, rekaan rumah panjang juga tidak dipengaruhi oleh masyarakat luar. Antara yang menjadi tumpuan adalah tiang yang menggunakan kayu keras dan tidak mudah reput daripada kayu berlian. Bahagian bumbung kebiasaanya mengguna buluh, papan atau kulit kayu. Rumah panjang mempunyai 3 ruang iaitu tanju (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka) dan bilik.Bahagian di atas bilik dan ruai dipanggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara di samping tempat menyimpan bijian dan perkakas.

6. Lamin Kopio, Sulap-Sulap, Tinupak, Pinopintod, Kinubu dan Tanaru.

Jika di Sarawak terkenal dengan rumah panjang, di Sabah juga tidak kurang hebatnya. Bukan itu sahaja, kebanyakan rumah-rumah tradisional ini masih banyak yang boleh dilihat terutamanya dalam kalangan etnik Dusun Lotad. Lamin Kopio, Sulap-Sulap, Tinupak, Pinopintod, Kinubu dan Tanaru ini adalah nama berbeza untuk rumah-rumah yang terdapat di Tuaran. Walaupun dengan nama berbeza, setiap rumah ini mempunyai enam bahagian iaitu soliu atau ruang tamu, soriba (kolong), rapuhan (dapur), kawas (atas), pantaran (ruang laluan) dan tilud (tingkat atas). Rumah-rumah ini kebiasaanya dibina tinggi dengan tiang asas yang panjang serta tangga utama untuk naik ke rumah juga memanjang ke atas. Selain di Tuaran, terdapat banyak lagi jenis-jenis rumah tradisional yang terdapat di Sabah. Antaranya andalah rumah Palaok @ Bajau Laut Sabah, rumah panjang Rungus Sabah, rumah suluk Sabah, dan rumah bambu Kadazan Sabah.

Nota: Jika anda berkesempatan ke Sabah, singgahlah ke Rumah Salome di Tuaran untuk mengalami sendiri pengalaman tinggal di rumah tradisional Sabah ini.

7. Keunikan rumah bumbung panjang, rumah serambi dan serambi gajah menyusu di Pulau Pinang

Jika anda rasa Pulau Pinang hanya terkenal sebagai syurga makanan atau binaan-binaan bangunan lama tinggalan penjajah, anda mungkin sekali terlepas pandang akan rumah-rumah tradisional di Pulau Pinang. Bagi yang tidak pernah mendengarnya, rumah tradisional kaum Melayu terdiri daripada rumah bumbung panjang, rumah serambi dan rumah serambi gajah menyusu. Rumah bumbung panjang dan rumah serambi hampir mempunyai persamaan dengan kebanyakan rumah Melayu yang terdapat di sini. Namun, fokus kita adalah kepada rumah serambi gajah menyusu.

Dengan nama yang cukup unik ini, rumah ini terdiri daripada dua komponen rumah yang berlainan saiz dan diumpakankan kelihatan seperti  seperti seekor gajah tengah menyusukan anaknya. Bangunan utama yang digelar rumah ibu kebiasaanya mempunyai struktur yang lebih tinggi manakala dapur pula lebih rendah. Bahagian dalam rumah terbahagi kepada ruang serambi luar, ruang tengah, ruang serambi dalam, ruang gajah menyusu dan dapur.

8. Rumah Kutai Tiang 16 dan Tiang 12 di Perak

rumah-kampung-tradisional-malaysia

© Khairil Azmi | 123rf

Jika di Kelantan terdapat rumah tiang 12, di Perak pula ada Rumah Kutai yang dibina dalam dua struktur berbeza. ‘Kutai’ bermaksud lama atau tua. Mempunyai ruang dalaman yang sama, kedua-dua rumah ini berbeza daripada tiang utamanya. Untuk Rumah Tiang 12, enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik menjadi tunjang utama untuk mendirikan struktur rumah ini. Manakala untuk Rumah Taing 16, ia menggunakan 16 tiang utama, iaitu lapan tiang panjang dan 8 tiang serambi sama naik. Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar. Kebanyakan rumah Kutai ini masih terdapat banyak di kawasan-kawasan seperti Daerah Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar. Selain daripada saiz dan reka bentuk tradisionalnya, rumah Kutai juga terkenal dengan bentuk pintu gelangsar dan bentuk tingkapnya. Jika anda biasa melihat ukiran kerawang pada rumah-rumah kampung dalam filem, itulah dia rumah Kutai.

5 komponen rumah kampung melayu yang masih relevan pada tahun 2021

Bayangkan anda dalam perjalanan menuju ke kampung halaman. Perkara pertama yang masuk ke fikiran pastinya suasana kampung serta rumah-rumah kampung dimana tempat kita membesar. Anda pasti rindukannya bukan? Sekitar tahun 90-an, rumah kampung adalah pemandangan biasa. Namun, peralihan zaman semakin moden, orang ramai lebih gemarkan reka bentuk moden dan terkini.

Tetapi, tidak semua beranggapan sama. Rekaan rumah kampung kini antara yang sukar didapati, mahal dan memerlukan mereka yang berpengalaman tinggi. Untuk tajuk kali ini, jom kita tengok antara rekaan rumah kampung lama yang boleh dibawa ke rumah moden pada tahun 2021 ini.

1. Rumah Panggung

rumah-panggung

© Kin Meng Kok | 123rf

Bagi mereka yang mempunyai rumah di atas tanah lot, rumah panggung ini antara pilihan yang masih relevan pada tahun 2021 ini. Jika anda lihat pada rumah kampung lama, terdapat satu bahagian seakan balai untuk menerima tetamu yang lebih tinggi daripada komponen lain. Trend ini semakin menjadi ikutan, ada yang menggunakan kayu untuk nampak lebih tradisional dan ada juga yang menggabungkan reka bentuk moden dengan material batu untuk kelihat lebih kontemporari namun masih mengekalkan gaya rumah kampung lama.

Berpadanan dengan budaya kaum melayu yang sentiasa mengutamakan keselesaan tetamu, rumah panggung ini juga mejadi tempat utama untuk tuan rumah untuk berbual dengan tetamu. Malah, ketika musim perayaan, rumah panggung jugalah sering menjadi kawasan utama untuk bergambar. Bukan itu sahaja, rumah panggung juga berfungsi sebagai tempat untuk majlis kekeluargaan seperti majlis perpinangan antara pengantin.

2. Tangga utama

Rumah kampung melayu pastinya terkenal dengan tangganya yang sering menjadi tumpuan setiap kali ada pengunjung yang tiba. Antara yang menjadi pilihan semestinya tangga rumah kampung melaka yang menggunakan seramik yang berwarna warni. Tangga utama ini masih relevan terutamanya buat mereka yang inginkan kelainan pada bahagian depan rumah. Selain daripada tangga rumah melayu Melaka, pilihan tangga kayu juga sering kali digabungkan pada rumah moden zaman sekarang. Walaupun berbeza dengan tangga rumah kampung Melaka yang berwarna warni, tangga jenis ini pula lebih menumpukan kepada ukiran yang selalunya bermotifkan alam semula jadi seperti bunga dan tumbuhan lagin.

3. Kaca terapuk

Antara semua, ini antara yang paling sukar dijumpai pada masa kini. Jika anda ingin memilikinya, anda perlu tempah daripada pakar yang betul-betul mahir, atau beli daripada rumah kampung lama. Bagi anda yang tidak tahu, kaca terapuk ini adalah kaca berwarna warni yang sering kita lihat di rumah kampung. Fungsinya, adalah sebagai menghias biasan warna sinaran matahari yang masuk ke ruang dalam rumah. Kaca terapuk ini selalunya dipasang di bahagian atas tingkap.

Namun ada juga yang menjadikan sebagai cermin utama pada tingkap. Ada yang dibuat dengan rekaan motif tertentu yang mana menjadikan ia item yang tersangatlah unik.Hingga hari ini, masih ada rumah moden yang menggunakan kaca terapuk ini pada tingkap rumah mereka. Bayangkan, padanan rumah moden menggunakan kaca terapuk ini, pastu tak jemu mata memandang.

4. Kekisi tingkap

Kekisi-tingkap

© Lily Oh | 123rf

Antara koleksi rumah kampung melayu yang sukar dijumpai pada hari ini adalah kekisi tingkap. Pada masa kini, kebanyakan kita lebih memilih menggunakan material besi yang dipasang untuk tujuan keselamatan. Bagi yang kurang pasti apa itu kekisi, ia befungsi sebagai penghadang kepada tingkap atas, tengah dan bawah tingkap. Kayu yang telah diukir ini dipasang satu persatu pada bahagian tingkap. Pada masa sekarang, tidak ramai tukang yang mahir untuk menghasilkan kekisi tingkap ini. Namun, ada juga rumah-rumah masa kini yang ingin mengembalikan gaya lama ini dengan menggabungkan tingkap atau tangga moden degan pemasangan kekisi ini.

5. Tiang seri

Paling relevan antara semua dan juga pelengkap kepada rumah kampung terutamanya dalam budaya Melayu. Tiang seri berfungsi sebagai fulkrum kepada struktur rumah, sebagai pemegang asas kepada bumbung, lantai dan juga sebagai bahagian paling tengah di dalam rumah. Walaupun telah lama dilupakan, namun tiang seri ini kembali menjadi pilihan mereka yang inginkan elemen rumah kampung. Jika dahulunya tiang seri ini adalah sekadar tiang kayu, namun hari ini ada yang juga yang menghias tiang seri ini dengan pelbagai motif ukiran, warna dan macam-macam lagi.

Pada masa kini, tiang seri bukan sahaja dipasang di dalam rumah, malah ada juga memasangnya pada bahagian luar terutamanya pada pintu masuk untuk menimbulkan motif rumah moden dengan elemen kampung yang lebih elegan.

Nota: Dalam seni pembuatan rumah kampung, tiang seri juga adalah bahagian yang mula-mula didirikan terlebih dahulu. 

Sumber : Jenis-jenis rumah kampung tradisional yang

Rumah “Nobita” sebenarnya bernilai RM2 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker