Kenapa guna dana KWAN jika kerajaan buat pinjaman RM85 bilion, soal Najib


Najib Razak mempersoalkan kenapa kerajaan mahu menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) selepas membuat pinjaman berjumlah RM85 bilion, selain mendapat hasil daripada penjualan beberapa aset negara.

Beliau turut mempersoalkan bagaimanakah kerajaan menggunakan peruntukan Belanjawan 2021 berjumlah RM3 bilion yang diluluskan untuk pembelian vaksin.

“Kenapa masih perlu kikis tabung simpanan masa depan negara jika sudah meminjam RM85 bilion dan menjual banyak aset dalam tempoh 4 bulan sejak permulaan tahun.

“Ke mana perginya peruntukan asal RM3 bilion diluluskan dalam Belanjawan 2021 yang kerajaan kata sudah cukup untuk membeli vaksin untuk 85% penduduk,” katanya di Facebook.



Najib merujuk kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan semalam bahawa penggunaan dana KWAN adalah sama seperti pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, wujud perbezaan antara pengeluaran simpanan KWSP oleh rakyat dengan penggunaan dana KWAN oleh kerajaan.

“Ada bezanya. Rakyat biasa tak pinjam sekitar RM85 bilion (termasuk RM5.4 bilion pinjaman asing melalui Sukuk Hijau yang dibuat minggu lepas) dalam tempoh empat bulan sejak perintah darurat bermula,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, jawapan kerajaan PN mengenai penggunaan dana KWAN juga tidak menjawab persoalan utama.



Katanya, antara lain beliau juga mempersoalkan peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah dana bagi pembelian vaksin adalah sebanyak RM5 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Semalam Wan Saiful berkata, penggunaan dana KWAN adalah sama seperti pengeluaran simpanan KWSP.

Beliau meminta masyarakat supaya berhati-hati dalam membaca komen-komen daripada “kluster merungut” berhubung langkah kerajaan membenarkan pengeluaran dana KWAN.

Katanya berkata, bantahan daripada kluster yang diketuai oleh ahli politik itu dilihat tidak konsisten dengan kenyataan mereka sebelum ini. FMT



Guna dana KWAN, kerajaan PN sudah habis modal?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker