Resepi Muffin Pisang Nutella dan Oat


Resepi Muffin Pisang Nutella dan Oat

Masa Penyediaan: 15 minit,
Masa Memasak:20 minit,
Jumlah Hidangan:12 muffin

Resepi Muffin Pisang Nutella dan Oat, satu kombinasi 3 bahan utama iaitu pisang, oat dan nutella yang pastinya dapat menghasilkan muffin yang sedap dan menyelerakan.

Teksturnya lembap, dan baunya sangat harum ditambah pula dengan keenakan nutella. Kalau ada pisang yang sudah masak ranum, jangan lah dibuang kerana pisang masak ranum yang kulitnya sudah berbintik-bintik hitam itulah yang paling sesuai dibuat kek atau muffin.

Kita gunakan pisang berangan untuk resepi ini dan juga gunakan oat segera (instant oat). Anda boleh gunakan rolled oat atau jenis yang lain juga.

Nutella pula diletakkan akhir sekali di atas adunan dan kemudian dilorekkan menjadi bentuk marble atau swirl yang cantik sebelum dibakar.

Muffin ini boleh dihidangkan untuk sarapan pagi atau minum petang. Resepi di ambil dari laman Chef In Training dan pastinya kita mesti buat muffin ni sebab keluarga pasti sangat sukakannya.

Bahan-Bahan:

2 cawan tepung gandum
1 cawan oat
1/4 cawan gula kastor
1/2 cawan gula perang
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1/4 sudu kecil garam halus
1 biji telur
1/2 cawan susu full cream
1/4 cawan minyak sayur (minyak jagung atau minyak canola)
1 sudu kecil esen vanilla
2 biji pisang saiz besar (ATAU 3 biji pisang saiz sederhana), lecek halus
Nutella secukupnya

Cara Penyediaan:

Panaskan oven pada suhu 170°C.

Di dalam mangkuk satukan tepung, oat, gula kastor, gula perang, baking soda dan garam. Kacau hingga semuanya sebati.

Di dalam mangkuk berasingan, pecahkan telur dan masukkan minyak sayur, esen vanilla, dan pisang yang dilecek.

Tuang bahan campuran tepung ke dalam adunan basah dan kacau sehingga sebati menggunakan senduk atau whisk. Jangan terlebih kacau dan memadai jika campuran bergaul sebati.

Kautkan adunan menggunakan sudu atau ice cream scoop ke dalam muffin tin (anggaran 12 biji muffin saiz besar).

Letakkan 1 sudu kecil nutella di atas adunan dan kacau menggunakan pisau kecil atau lidi halus supaya menjadi bentuk swirl yang cantik.

Bakar selama 17-20 minit atau sehingga bilah lidi dicucuk dan tidak melekit.

Tips:

Jangan kacau adunan terlalu lama kerana nanti muffin akan menjadi keras oleh sebab gluten yang terhasil dari tepung atau adunan yang terlebih kacau.

Resepi Che Nom

Resepi kek karamel pelangi gebu. Nikmat dimakan sejuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker