Puasa: Pesakit diabetes perlu kawal selera

Berbuka puasa bersama orang tersayang selepas hampir seharian menahan lapar dan dahaga sewaktu berpuasa, memberikan nikmat kepada umat Islam.

Namun dalam keseronokan berbuka, atau bersahur, pesakit diabetes perlu lebih berhati-hati kerana silap percaturan, memungkinkan pesakit berdepan risiko kesihatan seperti hypoglycemia (kekurangan paras gula dalam darah), hyperglycemia (paras gula dalam darah yang tinggi) dan dehidrasi, di mana risiko ini dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan, termasuklah mengundang maut.

Pakar Pemakanan Pantai Hospital Sungai Petani, Nur Zakira Imana Mohd Fadzil, berkata situasi berkenaan menyebabkan pesakit perlu mendisiplinkan diri dalam pemakanan khususnya pada waktu bersahur, berbuka puasa dan moreh.



Nur Zakira Imana Mohd Fadzil.

Katanya ia membabitkan mengamalkan rutin bersahur (sebelum berpuasa), berbuka ringan (ketika masuk waktu berbuka), berbuka sederhana (malam selepas selesai solat maghrib), makan menu ringan sebelum tidur serta mengambil ubat mengikut dos dan masa yang ditetapkan adalah rutin perlu dipatuhi.

“Kepatuhan dan disiplin ini perlu berikutan kadar insulin pesakit, tidak lagi sama seperti orang normal.

Begitupun aspek pemakanan seimbang perlu diutamakan, bukannya dengan makan sepanjang malam yang akhirnya mengakibatkan badan menjadi lesu akibat terlampau kenyang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam usaha merubah rutin, pesakit perlu belajar mengawal selera makan.



JAGA MAKAN
Nur Zakira menjelaskan amalan pemakanan sihat dan seimbang adalah perkara mustahak dalam hidup berikutan ia menentukan tahap kesihatan individu.

Malah katanya, makan berlebihan memungkinkan ia menjadi tabiat hidup.

“Bila berbuka puasa makan banyak dan diteruskan lagi sepanjang Syawal. Ia secara tidak langsung mendekatkan individu dengan risiko gemuk dan penyakit gaya hidup yang lain. Bagi yang sudah menghidap diabetes, ia menyukarkan lagi usaha mengawal penyakit mereka,” katanya.

Bagi memastikan dapat berpuasa dengan sempurna, selain menjaga aspek pemakanan, pesakit perlu mengambil ubat mengikut dos dan masa bersesuaian seperti di nasihati pegawai perubatan.



“Kebanyakan pegawai perubatan membenarkan pesakit hipertensi atau diabetes berpuasa jika keadaan pesakit terkawal tetapi harus disertai dengan dengan pemantauan diri,” katanya.

PUASA BETUL BERI MANFAAT
Berpuasa bagi pesakit diabetes bukan satu masalah namun mereka perlu lebih peka terhadap makanan yang diambil ketika berbuka dan bersahur.

Ini kerana, penderita penyakit itu masih berdepan risiko 1.6 kali lebih tinggi diserang hipoglisemia yang boleh menyebabkan seseorang mengalami peluh, badan menggeletar dan denyutan jantung menjadi laju.

Bagaimanapun sekiranya ia dilakukan dengan betul, berpuasa sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat kepada penderita diabetes.



Bagi Nur Hidayah Ahmad Ramdzan, 34, beliau mula didiagnoskan dengan masalah diabetes pada pertengahan 2019.

Katanya, mula-mula dia memang agak terkejut kerana belum pernah menghidap masalah kesihatan yang serius, tetapi dia nekad untuk ubah gaya hidup daripada menjadi lebih teruk lagi.

“Untuk Ramadan ini, saya cuba amalkan gaya hidup dan pemakanan sihat dan selalu tidak lupa untuk seimbangkan dengan air masak waktu sahur dan berbuka, cuba kurangkan pengambilan karbohidrat terutamanya nasi.

Saya akan lebihkan sayur sayuran dalam menu harian saya. Saya juga amalkan konsep suku-suku separuh,” katanya.



Bagi Nur Hidayah, beliau akan pastikan minum air secukupnya untuk badan kekal hidrasi tetapi kurangkan pengambilan gula.

“Kurangkan gula dalam menu berbuka, cukup dengan pengambilan manis daripada sumber kurma, kurangkan makanan bergoreng dan lebihkan sayur-sayuran. Kurangkan snek ringan selepas berbuka atau ketika moreh,” katanya.

Bagi warga emas, Amawaha Sulaiman, 71, beliau tetap positif walaupun terpaksa hidup dengan diabetes sejak 35 tahun lalu.

Untuk kekal berjuang katanya, beliau tidak minum minuman manis, menjaga pemakanan dan mengelakkan diri daripada stress.



“Lalui hidup dengan positif. Carilah satu hobi yang berfaedah. Hobi saya mengumpul gambar dan keratan akhbar tertentu,” katanya yang menyuntik insulin sebanyak empat kali.

PESAKIT DIABETES BERPUASA:
Makan secara seimbang pada waktu bersahur, berbuka dan moreh atau sebelum tidur.

Melakukan pemantauan bacaan glukosa darah dari rumah secara berkala selepas berbuka puasa (dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa) dan semasa bersahur. Ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu.
Jangan meninggalkan sahur dan pastikan makan hidangan lengkap.

Bersahur selewat-lewatnya setengah jam sebelum waktu Imsak. Pesakit digalakkan mengambil satu hidangan lengkap dan seimbang mengandungi sumber karbohidrat kompleks seperti nasi, pasta, bihun, roti atau biskut, sumber protein seperti ayam, ikan, telur,daging, susu serta sumber serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pesakit yang tidak mengambil zat mencukupi ketika bersahur berisiko mengalami hypoglycemia semasa berpuasa. Pengambilan susu formula khusus kencing manis dalam kuantiti betul. Produk serat tinggi dapat memberikan rasa kenyang lebih lama dan menstabilkan bacaan glukosa darah sepanjang berpuasa.

Lakukan senaman ringkas untuk mengeluarkan peluh dan kekal sihat. Tarawih adalah salah satu senaman yang digalakkan semasa bulan puasa. Ia melibatkan pergerakan tubuh badan teratur dan berulangan yang sangat bagus untuk menurunkan tekanan darah dan mengawal bacaan glukosa darah bagi pesakit hipertensi dan kencing manis.

KAWAL:
Kawal pengambilan karbohidrat semasa berbuka.

Karbohidrat berlebihan menaikkan bacaan glukosa darah secara tidak terkawal. Karbohidrat komplek ialah bijirin seperti nasi, bihun,pasta, sayuran berkanji dan produk berasaskan tepung. Manakala, karbohidrat ringkas pula seperti minuman dan makanan manis. Semasa berbuka puasa, mulakan dengan dua biji kurma dan segelas air kosong.Selepas solat magrib boleh mengambil hidangan yang seimbang berpandukan Konsep Pinggan Sihat Malaysia di mana isikan suku pertama pinggan dengan bijirin, suku kedua dengan sumber protein seperti ayam,ikan atau kekacang serta penuhi separuh pinggan dengan sayur-sayuran. Pilih makanan yang kurang kandungan gula, garam dan kurang lemak seperti kaedah masakan bakar, kukus sup atau panggang.

Tidak digalakkan mengambil sebarang makanan atau minuman manis semasa berbuka kerana bimbang pengambilan karbohidrat komplek sudah berlebihan. Ambil snek yang sihat waktu minum malam (selepas tarawih). Salad, buah-buahan dan karbohidrat yang tinggi serat seperti roti mil penuh, oat, kekacang, serta sandwich, ubi keledek atau jagung rebus adalah antara snek sihat.

Pengambilan air yang cukup amat penting untuk mengelakkan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Individu disaran mengambil air enam hingga lapan gelas sehari dari waktu bangun bersahur sehingga sebelum tidur.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker