Laporan polis dibuat terhadap Mahathir berhubung isu ‘Melayu dan raja’


Dua laporan polis dibuat berhubung tuduhan Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu mula marah kepada istana.

Salah seorang pengadu, Lee Ket Woon yang mengaku sebagai ahli Pertubuhan Tionghua Seberang Prai, Pulau Pinang, mahu polis menyiasat sekiranya kenyataan Mahathir itu mengandungi unsur-unsur hasutan.

Jurujual berusia 43 tahun itu juga mempersoalkan adakah Mahathir dan penyokongnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila berkumpul di luar Istana Negara baru-baru ini.

“Saya harap Ketua Polis Negara akan siasat jika dia (Mahathir) menyentuh perkara yang tidak menghormati raja, terutama Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya dalam laporannya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Shukor Aziz, dalam laporannya mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu membuat kenyataan palsu.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini adalah satu kepalsuan kerana saya tidak mendapati wujudnya sejumlah besar orang Melayu yang marah kepada Raja-Raja, malah petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat hanya mendapat 40,000 tandatangan sahaja,” katanya.

Pengurus berusia 59 tahun itu juga berpendapat kenyataan Mahathir adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

“Kesalahan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir ini sangat serius kerana beliau adalah mantan perdana menteri dan masih lagi merupakan ahli parlimen yang ramai pengikut.

“Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya,” katanya.

Kedua-dua laporan tersebut dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Selasa lalu, Mahathir memberitahu wartawan di luar Istana Negara bahawa orang Melayu mula marah kepada Istana.

“Orang Melayu biasa tak derhaka pada raja. Tapi sekarang ni terpaksa sampaikan pada setiausaha sulit (kepada Yang di-Pertuan Agong) bahawa orang Melayu mula rasa marah pada raja,” katanya.

Mahathir berkata, “perbezaan pendapat” itu disebabkan oleh kurangnya pengetahuan rakyat mengenai peranan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam menasihati Agong berhubung pengisytiharan darurat.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk menghadap baginda. Mk

Mahathir dakwa Muhyiddin diktator

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker