Tutup sementara semua sekolah, desak NUTP, NGO


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan digesa supaya menutup sementara semua sekolah di seluruh negara, sekurang-kurangnya selama 14 hari bagi membendung penularan Covid-19.

Desakan itu disuarakan presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Presiden NUTP Aminuddin Awang berharap kerajaan melaksanakan penutupan tersebut bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan murid dan guru.

“Penutupan perlu dilaksanakan di sekolah yang terletak di kawasan berisiko tinggi iaitu di zon merah, perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan sekiranya terdapat kes jangkitan,” kata beliau kepada FMT.

“Jika guru dijangkiti, bermakna sekolah sudah ada risiko penularan jangkitan, secara automatik berlaku kontak rapat dan mereka akan dikuarantin. Justeru bagaimana guru ini boleh mengajar di sekolah sedangkan pelajar hadir? Jjadi kena tutup sekolah.”

Namun, kata beliau, sekolah yang tidak berisiko terdedah kepada ancaman atau tiada jangkitan dalam kalangan murid dan guru, tidak perlu ditutup supaya pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan.

Presiden PIBGN Mohamad Ali Hasan pula berkata, langkah penutupan sementara perlu berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan di seluruh negara, terutama di Selangor dan Kelantan.

“PIBGN berpandangan KPM perlu segera menutup semua sekolah selama sekurang-kurangnya 14 hari demi keselamatan guru dan pelajar sekolah, sekali gus mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti menjadi semakin teruk.

“Pembukaan semula sekolah secara fizikal hanya boleh dilaksanakan di zon hijau dengan penilaian ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pelajar dan guru,” kata beliau.

Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan berkata, bukan semua sekolah di seluruh negara perlu ditutup, namun ia perlu dilakukan di kawasan zon merah dan berisiko tinggi.

“Kuasa menentukan penutupan sekolah bergantung kepada nasihat dari KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah,” kata beliau.

“Dalam hal ini, ibu bapa tidak perlu bimbang dan perlu beri kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menguruskan kes jika berlaku.” FMT

Tujuh pelajar Maktab Mahmud positif Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker