Pendekatan Low Class: Kementerian arah dan pantau kakitangan ‘like’ media sosial menteri



Sebaran :

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) didakwa mengeluarkan arahan agar kakitangan awam mengikuti – dengan cara “like” atau “follow” – akaun media sosial menteri, timbalan menteri dan juga ketua setiausahanya.

Beberapa tangkap layar pesanan teks yang mengandungi arahan tersebut tular di media sosial sejak malam semalam.

Pengguna Facebook Nazrin Norani, yang dipercayai merupakan seorang aktivis, memuat naik gambar tangkap layar berkenaan di media sosial dan mempertikaikan arahan kementerian berkenaan.



“Sejak bila majikan berhak paksa pekerja mereka like page mereka? Bukankah akaun sosial media pekerja adalah hak milik pekerja? Bukan majikan.

“Malah, jika kakitangan tersebut tidak mempunyai akaun media sosial, diwajibkan pula untuk membuka akaun-akaun tersebut. Mesti ada tiga-tiga, Facebook, Instagram dan Twitter,” soal Nazrin.

Hantaran Facebooknya itu telah dikongsi lebih 250 kali sejak ia dinaikkan sekitar jam 8 malam semalam.



 

Nazrin menyertakan tiga tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikatakan daripada KKMM. Dakwanya, perbualan itu dikongsi oleh seorang sahabatnya.

Berdasarkan tangkap layar berkenaan, pengurusan tertinggi KKMM dikatakan membuat keputusan berkenaan pada satu mesyuarat, dan mengarahkan semua kakitangan mengikuti akaun-akaun media sosial utama KKMM, termasuk menterinya Saifuddin Abdulllah, timbalan menteri Zahidi Zainul Abidin, dan ketua setiausaha Mohammad Mentek.

“Sehubungan itu, diminta semua pengarah bahagian/unit untuk memantau dan memastikan setiap kakitangan telah mengikuti (like atau follow) akaun media sosial utama di bawah KKMM …” kata pesanan berkenaan.

Berdasarkan pesanan itu lagi, semua pengarah bahagian dan unit dikehendaki mengisi borang bagi membuktikan bahawa mereka telah melaksanakan aktiviti pemantauan berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Saifuddin untuk mendapatkan maklum balas, dan dimaklumkan oleh salah seorang pegawainya bahawa kementerian itu akan mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara tersebut hari ini.



Zahidi pula tidak dapat dihubungi menerusi telefonnya.

 

Kakitangan tak selesa



Susulan hantaran tular itu Malaysiakini bercakap dengan beberapa kakitangan KKMM dan mendapati bahawa arahan itu mula dikeluarkan kira-kira seminggu lalu iaitu pada pertengahan April.

Penjawat-penjawat awam yang bercakap kepada Malaysiakini mengesahkan memang terdapat arahan sedemikian buat mereka. Tetapi mereka tidak mahu identiti mereka didedahkan memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media.

Kata mereka, arahan itu dikeluarkan kepada semua agensi, termasuk cabang media KKMM seperti Bernama dan RTM, dan terpakai untuk semua kakitangan termasuk wartawan di biro-biro seluruh negara.

Seorang daripada mereka berkata, kakitangan diminta menyenaraikan URL akaun media sosial mereka, supaya ia boleh diperiksa sama ada mereka sudah mengikuti arahan itu dengan like atau follow akaun-akaun dinamakan tadi.



“Bagi saya, tak ada masalah, sebab tak kena bayar apa-apa pun (untuk like atau follow). Tapi, isunya adalah tentang privasi.

“Akaun media sosial peribadi ini sepatutmya iyalah, peribadilah. Oleh itu ramai yang tak gembira dengan arahan itu,” kata seorang lagi kakitangan.

Seorang lagi sumber, yang bekerja di pejabat luar dari Lembah Klang, memberitahu Malaysiakini bahawa arahan itu disampaikan kepada mereka melalui penyelia masing-masing di pejabat negeri. MK




Sebaran :


Leave a Reply