“Mahathir pernah berhasrat pecat Yeo Bee Yin” – Lim Kit Siang
Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berhasrat memecat Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 2019 ekoran isu Lynas.
Perkara itu diakui veteran DAP, Lim Kit Siang yang memaklumkan bahawa beliau tidak pernah terlibat dengan perkara tersebut, namun hanya diberitahu mengenainya.
“Kejadian ini menyerlahkan kerumitan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara perkara penting yang perlu dijadikan iktibar, kata Kit Siang ialah tentang janji yang dibuat semasa pilihan raya.
“Kita menawarkan Buku Harapan sebagai janji-janji pilihan raya yang dibuat untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Pada peringkat awal pentadbiran Pakatan Harapan lagi, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir telah mengatakan bahawa manifesto bukanlah satu kitab suci.
“Kesannya, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menunaikan 80 atau 90 peratus daripada janji-janji pilihan raya dalam tempoh lima tahun sekalipun, rakyat tentu akan sukar untuk mempercayainya,” ujar beliau lagi.
Selama 52 tahun sebagai pembangkang, Kit Siang berkata, beliau tidak sedikit pun gentar untuk kembali duduk di kerusi pembangkang, namun mempunyai matlamat untuk kembali membentuk kerajaan semula, kerana hanya dengan kuasa segala pembaharuan dan reformasi dapat dilaksanakan.
“Namun kita harus bersikap realistik, kita perlu bekerjasama dengan pemimpin politik yang sehaluan dengan kita, yang bersama ingin mengejar dan menjadikan impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebuah negara hebat bertaraf dunia satu kenyataan, kerana DAP tidak akan mampu untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Pemimpin DAP tidak harus termakan dengan godaan kuasa, tidak kira semasa menjadi kerajaan atau pembangkang, dan sepanjang 55 tahun sejarah DAP, pemimpin DAP tidak pernah sekalipun mengingkari prinsip keramat ini,” tegas Kit Siang lagi.-Awani
YB Yeo Bee Yin sepatutnya telah dipecat oleh Mahathir sebelum dihalang – Chin Tong
You must be logged in to post a comment.