Lulus undang-undang baharu, kerajaan boleh guna dana RM16.9 bilion


PETALING JAYA: Kerajaan meluluskan ordinan darurat baharu yang meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 untuk membolehkannya digunakan bagi pembelian vaksin dan perbelanjaan berkaitan, berkuat kuasa serta merta.

Dana yang ditubuhkan pada 1988 dan diuruskan Bank Negara Malaysia itu dilaporkan mempunyai aset bernilai RM16.9 bilion setakat akhir 2017, dengan Petronas sebagai penyumbang paling penting.

Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 menambah subseksyen baharu kepada Seksyen 6 Akta Kumpulan Wang Amanah Negara, yang menyatakan dana itu boleh digunakan untuk “pembelian vaksin dan perbelanjaan berkaitan bagi epidemik sebarang penyakit berjangkit seperti dikhususkan di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Dana itu merangkumi sumbangan daripada negeri yang meraih sebarang bentuk royalti daripada petroleum atau sumber asli yang semakin habis, atau mana-mana pihak berkuasa yang perniagaannya termasuk penyelidikan atau pembangunan sumber seumpama itu.

Lewat bulan lalu, kerajaan mewartakan ordinan yang membolehkan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar melululuskan belanjawan tambahan dan menggunakan dana disatukan tanpa kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masing-masing ketika tempoh darurat.

Ia berkuat kuasa serta-merta dan dikritik pelbagai pihak kerana tiada semak dan imbangan terhadap penggunaan dana negeri.

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 11 Jan sebagai langkah membendung wabak Covid-19 yang semakin buruk, dan menggantung Parlimen serta Dewan Undangan Negeri sejak itu.

Darurat dijangka berlanjutan sehingga 1 Ogos atau lebih awal bergantung kepada keadaan wabak di negara ini. FMT

Kenapa perlu ‘jarah’ dana amanah untuk vaksin, soal Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker