Ramadhan macam madrasah
Oleh Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim
Ramadhan al Mubarak sudah tiba.
Kehadiran bulan ini sangat di nanti-nantikan oleh hamba Allah yang beriman. Pastinya Ramadan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan kerana tahun ini adalah tahun kedua menyambut Ramadan dalam suasana norma baharu ekoran Covid-19 yang belum reda.
Ramadan sangat istimewa kerana mampu membentuk peribadi Muslim yang bertakwa iaitu suatu sifat yang paling mulia di sisi Allah SWT.
Hal ini di tegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)
Takwa itu sendiri adalah tunjang kepada ajaran Islam. Hanya orang yang bertakwa akan tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa (kepada-Nya). Hanya sifat takwa dapat membezakan darjat antara hamba-hamba-Nya, sebagaimana amanat Baginda Nabi SAW di dalam khutbah Haji Wida’ iaitu: “Ketahuilah, tiada kelebihan kepada seseorang berbangsa Arab ke atas seorang bukan Arab, bukan Arab ke atas orang Arab, tiada juga bagi orang yang berkulit merah ke atas orang berkulit hitam, orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali dengan takwa.”
Berpuasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang sangat istimewa kerana Allah SWT telah memberi jaminan dan pengharapan supaya menjadi orang bertakwa.
Begitu juga penurunan kitab suci al-Quran Al-Karim sebagai petunjuk (huda) kepada orang-orang yang bertakwa.
Bulan Ramadan juga adalah seumpama madrasah tempat mendidik manusia dari segi rohani dan jasmani. Selain berpuasa di siang hari, kita dituntut menghiasi malam-malam di bulan Ramadan dengan qiyam seumpama solat Tarawih, Witir, doa, zikir, tadarus al-Quran dan lain- lain.
Selain itu, Baginda Nabi SAW memperbanyak bersedekah, iktikaf dan membuat amal kebajikan.
Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang kita lalui tanpa dapat meningkatkan darjat ketakwaan dalam diri. Setiap orang Islam perlu meletakkan cita-cita untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik selepas sebulan ditarbiyyah dalam madrasah Ramadan. Fadilat dan kelebihan takwa yang sedia menanti untuk diraih sangat banyak.
Antara yang disebut dalam al-Quran ialah sebarang kesulitan dan masalah akan diberi jalan penyelesaian oleh Allah SWT. Pintu-pintu rezeki akan diperluaskan. Segala urusan pekerjaan akan dipermudahkan. Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya jua, Allah SWT akan menghapuskan dosa yang telah dilakukan dan memberi ganjaran yang besar.
Ayuh bina ketakwaan sepanjang Ramadan dengan melipat ganda amal ibadah. Paling utama ialah ibadah hubungan diri kita dengan Allah SWT seperti solat, membaca al- quran, iktikaf, doa, zikir, istighfar dan lain-lain. Di samping itu tunaikan zakat, infaq dan sedekah yang dapat membantu sesama manusia.
Untuk mencapai takwa dalam ibadah memerlukan istiqamah. Setiap masa bermuhasabah diri seolah-olah Ramadan kali ini adalah Ramadan terakhir bagi diri kita. Ini masanya untuk meningkatkan ketakwaan melalui ibadah yang berkualiti. Kalau selama ini masih ada perasaan malas dan suka bertangguh untuk solat, maka ini masanya untuk mengubah kepada yang lebih baik.
Ramadan mendidik kita untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah. Ini masanya menjadi hamba yang pemurah, penyabar, berkasih sayang, bantu-membantu dan bersangka baik sesama insan.
Mari kita menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan kesempurnaan supaya beroleh darjat takwa di sisi Allah SWT.
Garap peluang keemasan ini supaya mati kita nanti sebagai seorang Muslim yang diredai iaitu seperti di tegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu mati melainkan di dalam keadaan menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
Maha suci Allah yang telah menjadikan Ramadan dan ibadah puasa pada tahun ini. Semoga bulan berkat memandu kita menjadi orang yang bertakwa.
Penulis Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
You must be logged in to post a comment.