Kit Siang, Guan Eng tidak lagi ekstrem, kata Mahathir


Tidak semua orang dalam DAP kini ekstrem, kata Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kenyataan yang dibuatnya dua minggu lepas, selain menambah bahawa veteran parti itu Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng sudah berubah.

Bekas perdana menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa dua pemimpin tersebut “agak ekstrem” sewaktu beliau pertama kali menjadi perdana menteri.

“DAP sedar tanpa sokongan orang Melayu mereka tidak boleh menang. Jadi mereka buka (DAP) kepada orang Melayu. Dalam pada itu, orang India memang sudah ada dalam parti berkenaan.

“Jadi ada orang Melayu dalam DAP dan kerana itu kita lihat DAP kini menjadi lebih sederhana,” katanya kepada portal atas talian tersebut.



Bagaimanapun Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pemimpin seperti P Ramasamy dan Ronnie Liu adalah antara ahli DAP yang masih sangat ekstrem.

“Mereka tidak bersedia untuk bertolak-ansur sama sekali,” katanya, selain mengakui memang terdapat ahli yang ekstrem dan sederhana dalam mana-mana parti sekalipun.

Liu baru-baru dikritik berhubung kenyataan yang menurutnya disalah petik dengan Hannah Yeoh dan Tony Pua membidas anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP itu.

Beliau dilaporkan berkata, DAP tidak boleh menggambarkan dirinya sebagai parti bukan Cina dan ia tidak perlu “melunturkan ciri kecinaannya”.



Pada 4 April, Mahathir berkata, beliau mendapati DAP “kadang-kadang bersifat ekstrem” sewaktu bekerjasama dengan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin DAP menolak kenyataan itu dengan Guan Eng berkata, ia “salah, tidak berasas dan menyeleweng”.

Beliau berkata, sejarah membuktikan bahawa DAP adalah parti berbilang kaum dan berjuang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. FMT

Pertuduhan rasuah, Mahathir pertahankan Guan Eng



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker