Judi itu membinasakan – Zahid Hamidi

Benar judi itu membinasakan. Judi pemangkin kepada jenayah selain judi. Lintah darat, peras ugut, ragut dan banyak lagi.

Tidak ada satu agama di dunia membenarkan judi selain tiada rasional pelaku melakukan tindakan berkenaan.

Sebab itu semasa saya Menteri Dalam Negeri kita berusaha membasmi sehabis baik kegiatan judi tidak berlesen di negara ini.

Kita gempur habis-habisan. Kita buat serbuan, tangkapan dan rampasan. Kita buka kertas siasatan dan dakwa mereka di mahkamah.

Tidak cukup dengan itu kita dapatkan kerjasama agensi berkaitan potong bekalan elektrik dan air ke premis judi.

SKMM pula kita minta ambil tindakan mengikut proses undang-undang yang ada bagi membasmi gejala tersebut.

Kita turut meminta PBT di seluruh negara tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga baharu.

Ini berikutan terdapat pengusaha menyalah guna lesen dengan menganjurkan kegiatan judi terutama ketika musim piala dunia.

Hanya dalam tempoh setahun saya dilantik Menteri Dalam Negeri, jumlah serbuan meningkat kepada 9,358 berbanding 1,584 pada tahun sebelum.

Saya malah mengambil inisiatif berjumpa Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan memerangi judi tidak berlesen.

Kemudian kita tubuhkan ‘special force’ yang amat digeruni penjenayah – Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG).

STAGG memburu jerung-jerung jenayah dan menghapuskan kegiatan maksiat, judi dan gengsterisme di semua peringkat.

Iltizam politik dan komitmen kerajaan BN ketika itu amat jelas dalam membendung serta membanteras kegiatan judi tidak berlesen.

Apapun itu cerita dulu. Semasa kerajaan BN mentadbir negara. Bagaimana selepas itu saya tidak pasti. STAGG pun telah dibubarkan oleh ‘Malaysia Baharu’.

Zahid Hamidi.
Presiden UMNO/Pengerusi BN dan Ahli Parlimen Bagan Datuk.

 

 

20 pegawai, anggota polis disyaki terlibat sindiket Macau scam, judi dalam talian, ditukar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker