Ayah dan ibu permulaan kami

Gambar Hiasan

Tiada saat yang lebih indah bagi sesebuah keluarga selain dapat berkumpul bersama-sama ibu, bapa dan anak-anak terutama dalam menyambut Ramadan al-mubarak.

Walaupun berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri juga adalah momen yang indah. Namun, sambut Ramadan seisi keluarga lebih bermakna.

Dengan itu, dapatlah bersahur, berbuka dan solat berjemaah bersama termasuk tarawih. Penghujungnya ditutup dengan moreh seisi keluarga.

Namun, dalam majoriti umat Islam menikmati saat-saat manis sedemikian, kita dikejutkan dengan berita ‘buang ibu dan bapa’. Ia disiarkan dalam laporan muka depan Utusan Malaysia, 13 April lalu.



“Jika mereka rindukan ayah, datanglah cari saya, bukan saya yang pergi dekat mereka. Sebagai manusia, saya memang memaafkan mereka tetapi kesan daripada apa yang mereka lakukan masih terpahat sehingga kini.”

Itulah luahan seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Din, 63, yang memilih untuk hidup bergelandangan di kaki lima berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang sejak Mei tahun lalu selepas ‘dibuang’ oleh anak-anaknya.

“Ayah mana yang tidak rindukan anaknya apatah lagi yang diasuh, dibela sejak lahir serta menguruskan perkahwinan mereka. Saya pasrah dengan apa yang berlaku setelah masing-masing membawa haluan sendiri sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menjaga dan berbuat baik kepada ibu bapa menjadi tanggungjawab anak-anak. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan perkara ini.



Menantu antara punca ibu bapa dibuang

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Israk: 23)



Melihat kepada jasa dan khidmat bakti ibu bapa, teringat kepada lirik lagu Ayah dan Ibu lantunan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad iaitu:
Ayah dan ibu, ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari, aa…
Ayah dan ibu, ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari, aa…
Yang dikurniakan dari Ilahi, aa…
Ayah dan ibu, ayah dan ibulah mesti dihormati
Yang dikurniakan dari Ilahi, aa…
Ayah dan ibu, ayah dan ibulah mesti dihormati

Malangnya, statistik Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) mendapati bilangan penghuni rumah perlindungan orang tua, Rumah Seri Kenangan yang penuh menunjukkan wujudnya peningkatan masyarakat yang sanggup ‘membuang’ ibu bapa masing-masing kerana enggan memikul tanggungjawab.

Masalah komunikasi, ber­kelakuan degil dan agresif, rasa curiga, enggan dibantu, gangguan daya ingatan, kecacatan anggota serta tidak dapat bergerak antara punca warga emas terbabit diabaikan dan tidak dikehendaki oleh waris mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana golongan terbabit bergantung kepada anak-anak mereka bagi meneruskan kehidupan harian.



“Nyanyuk, sakit, tidak boleh berdikari di samping anak-anak terbeban dengan masalah kewangan antara punca warga emas ‘tidak dikehendaki’ dan ‘dibuang’ begitu sahaja.

“JKM pernah menyelamatkan warga emas yang ditemui ditinggalkan di tepi jalan, surau, hotel dan juga stesen bas,” katanya.

JKM pada tahun lalu mengesan 273 kes warga emas diabaikan termasuk empat kes mangsa menjadi mangsa dera ahli keluarga.

“Pengabaian warga emas berumur 60 tahun dan ke atas dikelaskan kepada lima kategori iaitu secara fizikal, psikologi, kewangan, sosial dan seksual. Pengabaian secara fizikal itu termasuk perbuatan membuang golongan tersebut.



“Dalam kes pengabaian, ada anak membuang ayah hanya disebabkan nyanyuk selepas pembahagian harta pusaka, ada pula yang meninggalkan ibu lumpuh di hotel dan tidak kurang yang meninggalkan di rumah orang tua,” kata Fatimah.

Saya ‘marah’ kerana tak mahu peniaga rugi – Norhizam

Senario ini amat mendukacitakan. Tak dapat diungkapkan dengan kata-kata tindakan anak-anak membuang ibu bapa.



Walaupun tidak dinafikan ada kes-kes terpencil di mana ada sejarah hitam antara ibu bapa dan anak-anak yang membawa kepada ‘pembuangan’ itu.

Namun, umumnya, tidakkah terbayang oleh anak-anak saat mereka ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ sejak hari dilahirkan sehingga dewasa dan menjadi orang yang berjaya. Tidak adakah langsung kenangan manis zaman anak-anak di mana kita digendong oleh bapa di atas bahu sambil berjalan-jalan.

Lupakah anak-anak kepada bagaimana ibu bapa berusaha membelikan pakaian baharu untuk hari raya walaupun mereka tidak pernah berbaju baru setiap kali Aidilfitri.

Apa yang anak-anak tahu selalunya menangis atau protes apabila tidak dapat mainan atau sesuatu yang mereka hajati.

Sebenarnya, mereka yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua orang tua adalah sangat bertuah dan beruntung. Nabi SAW pernah memberi amaran dengan menyebut orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

Didikan agama amat penting kerana ia akan melahirkan anak-anak yang beriman. Iman itu perlu dijaga dengan ibadah dan kedua-duanya akan menatijahkan manusia yang bersifat ihsan.

Sebagai ibu bapa, kita perlu menunaikan hak kepada anak-anak supaya tidak dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

MRM tawar khidmat guaman percuma, pekerjaan kepada pengawal peribadi dibelasah

Dalam pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a , seorang bapa mengadu tentang penderhakaan anaknya. Saidina Umar memanggil anak yang menderhakai bapanya dan bertanya apakah benar perkara tersebut berlaku serta mengingatkan budak itu tentang besarnya dosa menderhaka ibu bapa.

Lalu budak itu bertanya kepada Saidina Umar: “Tidakkah anak juga ada hak ke atas ibu bapanya?” Saidina Umar menjawab “Benar,” Bertanya anak tersebut, “Apakah hak ibu bapa terhadap anak?” Saidina Umar menjawab: “Hendaklah bapa memilih ibu yang solehah, memberi nama yang baik dan mengajarnya al-Quran”.

Budak itu berkata, tiada satu pun hak tersebut dipenuhi oleh bapanya. Lalu Saidina Umar bertanya kepada bapa anak yang mengadu tadi dengan katanya: “Adakah kamu datang untuk mengadu kepadaku kederhakaan anakmu? Kamu telah menderhakinya sebelum dia menderhaki kamu.”.

Kisah ini adalah sebagai iktibar kepada kita jika tidak mahu anak-anak kita menjadi seorang yang derhaka.

Ibu bapa adalah anugerah yang istimewa kepada setiap insan. Adalah menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga mereka dan memberi khidmat yang terbaik.

Ini kerana dosa orang yang menderhakai ibu bapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker