Jangan harap nak kutip penalti cukai RM1.74 bilion dari saya – Najib

Najib Razak yang menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 5 April lalu berkata, dia tidak akan membayar penalti cukai tambahan RM1.74 bilion yang dikenakan ke atasnya itu.

“Jangan harap nak kutip penalti cukai tambahan RM1.74 bilion yang tak wajar dari saya sebab saya tiada wang sebanyak RM1.74 bilion untuk bayar,” katanya ringkas dalam satu nota catatan di Facebook hari ini.

Pada Jun 2019, kerajaan melalui LHDN memfailkan tuntutan saman terhadap Najib bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu, dengan kadar faedah lima peratus tahunan bermula daripada tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan untuk tahun 2011 hingga 2017 dalam jangka waktu 30 hari yang ditetapkan setelah notis taksiran dikeluarkan.

Oleh itu, jumlah hutang setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus. Difahamkan kes itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini.

Najib turut mengulas mengenai kutipan cukai langsung LHDN pada tahun 2018 dan 2019 yang menurutnya adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun 2017.

Katanya, ketika itu, ramai yang mengadu bahawa LHDN terlalu agresif mengutip cukai daripada rakyat semasa ekonomi semakin menurun akibat kerajaan ingin mengganti hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semasa ekonomi berkembang pesat pada tahun 2017 sebelum PRU14, kutipan cukai LHDN adalah sebanyak RM123 bilion.

“Jumlah kutipan naik ke lebih RM140 bilion pada tahun 2019 walaupun pertumbuhan ekonomi jatuh ke paling rendah sejak 10 tahun lalu masa itu dan jatuh ke RM123 bilion tahun 2020 lepas akibat pandemik.

“Namun, sasaran kutipan LHDN bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinaikkan semula ke RM144 bilion untuk tahun 2021 – iaitu hampir sama dengan tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dan jauh melebihi kutipan RM123 bilion pada tahun 2017 semasa ekonomi berkembang pesat,” katanya.

Bekas perdana menteri itu mempersoalkan jika adalah realistik bahawa pendapatan orang ramai pada tahun 2021 ini akan memulih kepada paras tahun 2019 sedangkan wabak Covid-19 masih melanda dan pada ketika gaji permulaan graduan sudah jatuh ke bawah paras gaji minimum.

Dia turut mengingatkan bahawa beberapa sektor utama negara seperti sektor penerbangan dan sektor pelancongan masih lumpuh.


“Ataupun kerajaan PN akan lebih agresif untuk mengutip cukai daripada rakyat berbanding kerajaan PH dahulu dengan menggunakan pendekatan ‘bayar dulu, bincang kemudian’ terhadap rakyat seperti warta baru kerajaan pada bulan Disember 2020.

“(Ini juga) setelah PM8 (Muhyiddin Yassin) dedahkan kerajaan tak banyak wang lagi setelah PN belanja RM600 bilion?,” katanya.

Pada 12 April lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Justeru, katanya negara tidak banyak wang lagi yang tinggal. Mk

Kerajaan dah tak ada banyak wang, kata Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker