ECRL hanya untungkan China, rugikan Malaysia?
Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak banyak menguntungkan Malaysia, sebaliknya dilihat memberi lebih manfaat kepada negara tanah besar China.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, tidak dapat dinafikan dengan keterikatan negara dalam projek besar seperti ini – lebih spesifik keterikatan kepada pembiayaan – Malaysia hampir berada di bawah ‘orbit’ China.
“Maknanya kita sekarang berhutang, ini satu soalan yang tidak diketahui oleh umum, apa cagaran Malaysia terhadap hutang ini?
“Saya yakin ramai orang tertanya-tanya. Lazimnya, bila kita hutang ada perkara yang kita akan letak sebagai cagaran. Kalau di Laos, cagarannya ia adalah mineral-mineral mereka. Sama juga perkara yang berlaku di Afrika.
“Di Malaysia saya tidak pasti apakah cagarannya. Itu satu perkara yang menakutkan kita,” katanya dalam program Agenda Pertiwi yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, malam ini.
Dengan pelaksanaan projek ECRL ini, beliau berkata, kerajaan China berjaya mengeksport apa yang ‘menghidupkan’ negaranya iaitu dengan pembuatan kereta api ini.
“Bila kita buat infrastruktur macam kereta api ini, dia ada banyak kepakaran, teknologi yang diperlukan. Ia membangunkan sesebuah negara, teknologi signalling dan sebagainya.
“Dan perlu juga memanfaatkan sumber-sumber seperti bijih besi, arang batu untuk menghidupkan dan menghasilkan produk kereta api ini. Jadi China, dia perlukan semua ini untuk membangunkan negaranya dan dia perlu jual benda ini kepada pasaran-pasaran yang wujud,” jelasnya.
Maka dengan strategi itu, Syed Israa’ berkata, Malaysia menjadikan antara negara yang dipilih untuk dijadikan pasaran oleh China.
“Kita macam jadi tempat dia ‘dump’ barang-barang dia. Tempat untuk dia letak produk-produk dia dan kita pula membelinya dengan harga yang meminjam duit daripada dia, financing daripada China.
“Dan dalam keadaan itu, kita sendiri tak dapat nak develop. Ini macam yang berlaku di zaman British. British menjual lokomotif dia dalam pembinaan Kereta Api Tanah Melayu, maka industri yang membangun, ekonomi yang membangun adalah ekonomi negara besar itu.
“Sementara negara seperti kita hanya mengambil sagu hati, malah sebenarnya kita menanggung beban belanjawan, kos untuk menjadikan projek itu berjaya,” katanya.
Kata beliau, keadaan itu sama seperti apa yang sedang berlaku daam projek ECRL ini.
“Macam contoh ECRL, tahun ketujuh kita baru start bayar. Mengikut jangkaan ahli ekonomi, kita tidak akan untung. Hatta kita banyakkan kargo sekalipun untuk diangkut dalam ECRL, kita ramaikan penumpang sekali pun, kerajaan akan terpaksa menanggung subsidi yang besar untuk memastikan ECRL digunakan dengan betul.
“Itu apa yang terjadi kepada KTMB sekarang ini. Jajaran pantai barat, kerajaan terpaksa menangung beban yang besar kerana kerugian,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Israa’ berkata, jika hendak memastikan projek ECRL ini berbaloi kerana telah dimulakan dengan dana yang tinggi – RM60 bilion – ia sepatutnya turut boleh menjana sektor ekonomi lain.
“Sepatutnya kerajaan ambil peluang ini untuk bangunkan kepakaran rakyat. Terutama dalam mengembangkan industri kereta api pembuatan, teknologi berkaitan.
“Identify siap-siap industri tempatan lain yang boleh memanfaatkan infrastuktur ini, tanah mana yang nak dibangunkan, bukannya cari yang paling murah.
“Ianya hanya berbaloi jika RM60 bilion itu membangunkan sangat banyak sektor dalam negara termasuk pendidikan rakyat, ekonomi, teknologi, industri lain dan tambah keselamatan kita. Jadi berbaloi nak spend RM60 bilion itu,” katanya.
ECRL diubah semula ke laluan asal, anggaran kos RM50 bilion – Wee
You must be logged in to post a comment.